Site icon Sabah Baru News

Cabaran-cabaran kepada penggabungan Star-PBS

TAWARAN oleh presiden Star yang juga timbalan ketua menteri pertama Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G Kitingan untuk penggabungan antara parti Tanahairku (Star) Sabah dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mencerminkan salah satu slogan Star, “Unity is duty” (perpaduan adalah kewajipan), demonstrasi sikap murah hati beliau ini bermotif untuk mewujudkan satu entiti politik berasaskan Momogun yang lebih besar dan lebih kuat.

Kerana saya mengenali sikap Dr. Jeffrey yang berwawasan jauh melalui berdekad pergaulan dengannya (sejak perjuangan kami dalam Angkatan Keadilan Rakyat atau Akar), saya percaya cadangannya untuk penggabungan dibuat dengan kesanggupan untuk berkompromi, mungkin juga dengan keterbukaan untuk rela berunding mengenai kedudukannya sebagai presiden parti.


Walau bagaimanapun, dalam kes ini, tawaran yang mulia ini akan dihadapi dengan pelbagai cabaran, dan beberapa daripadanya mungkin tidak dapat diatasi. Ia bukanlah satu proses yang mudah seperti penggabungan Pasok Momogun dan Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (Unko) menjadi Pertubuhan Pasok Kadazan Bersatu (Upko) pada tahun 1964, yang telah dipersetujui secara bersyarat oleh G.S. Sundang, walaupun ia sangat ditentang oleh abangnya Sedomon Gunsanad, kemudian Datuk Seri Panglima (gelaran dianugerahkan selepas meninggal pada 2016).

Penggabungan ini dicapai dengan Upko mempunyai gandingan dua presiden bersama, iaitu Donald Stephens dan Sundang.

Kita boleh mengambil pengajaran daripada percubaan yang gagal dalam usaha penggabungan antara parti selepas itu. 

Upko dan PBRS telah berusaha secara sangat serius untuk bergabung pada tahun 2004, hampir berjaya tetapi akhirnya gagal kerana beberapa sebab. Antara sebabnya, seorang pemimpin kanan dalam Upko menentang idea dirinya akan diturunkan ke jawatan rendah dalam entiti gabungan yang dicadangkan. Maka setelah berbulan-bulan berunding dengan mendiang Tan Sri Herman Luping mempengerusikan jawatankuasa perunding, usaha itu terbengkalai.

Kemudian pada tahun 2017 telah berlaku usaha “Inisiatif Tataba” oleh Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) untuk menggabungkan partinya dengan Upko dan PBRS. Kegagalan percubaan ini diberi penjelasan sebabnya oleh Presiden Anak Negeri, Datuk Henrynus Amin, yang mendakwa bahawa “sekumpulan kecil pemimpin yang besar kuasa dalam PBS berkomplot mensabotaj inisiatif Tataba untuk menyatu dan menggabungkan parti dengan Upko dan PBRS sebelum PRU13. Inisiatif yang pada asalnya bertujuan untuk mengukuhkan suara Momogun dalam Barisan Nasional telah gagal akibat konspirasi pemimpin PBS ini yang mempunyai kebencian dan ketidakpercayaan yang mendalam terhadap Upko dan PBRS.”

Cadangan penggabungan Star-PBS bukanlah perkara baru; ia telah mula dibincangkan pada tahun 2020, tetapi tidak banyak rundingan yang serius dibuat kerana hasil awalnya adalah ketidakpuasan hati di pihak Star kerana ia merasa terdapat ketiaddaan tolak ansur dipihak PBS yang waktu itu mungkin melihat dirinya mempunyai kedudukan politik yang lebih tinggi. Dan pada tahun 2021, perang dingin kedua-dua parti terus menimbulkan perselisihan apabila PBS menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pembangkang Warisan. Presiden PBS, Dr Maximus, juga telah mengkritik Dr. Jeffrey atas cadangan Dr. Jeffrey agar digubal Perlembagaan Persekutuan untuk menyelesaikan status Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia. Dr. Max menegur Dr Jeffrey agar jangan membangkitkan sentimen rakyat demi kepentingan politik.

Jadi bolehkah kedua-dua parti Momogun terbesar bersetuju untuk bergabung sekarang? Bolehkah luka lama, atau meminjam kata-kata Henrynus, kebencian dan ketidakpercayaan yang mendalam, disembuhkan dan diketepikan? Maklum balas daripada pemimpin PBS mengenai cadangan itu adalah dari tiada hingga suam-suam kuku. Supremo PBS, Tan Sri Pairin Joseph Pairin dan presiden Dr. Max membisu, manakala timbalannya Datuk Joachim Gunsalam, yang juga timbalan ketua menteri, berkata tidak perlu tergesa-gesa untuk membincangkannya kerana ia “hanya cadangan” dan “parti PBS bersedia untuk terus bekerjasama dengan Star di bawah payung gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.”

Datuk Joniston Bangkuai, ketua penerangan PBS bersikap lebih positif, dengan responnya “penggabungan PBS dan Star boleh melambangkan transformasi strategik. Pertimbangan utama ialah perpaduan dan ia berpotensi mengukuhkan gabungan negeri GRS” tetapi mengingatkan proses penggabungan itu akan menghadapi banyak kesukaran, dengan isu pembahagian kerusi dan pemilihan calon akan menjadi pertelingkahan utama dalam mana-mana penggabungan politik untuk berjaya. Tetapi beliau menekankan bahawa sebarang langkah yang boleh menggalakkan perpaduan dan mengukuhkan GRS harus disokong.

Keseluruhan idea untuk menggabungkan dua parti politik merupakan satu proses yang kompleks dan penuh dengan pelbagai cabaran dan isu. Dalam kes Star dan PBS kedua-dua parti mempunyai ideologi yang sama, nama entiti yang digabungkan boleh menjadi Star Bersatu, dan kedua-duanya mempunyai logo dengan jabat tangan yang boleh digabungkan dengan mudah menjadi satu. Tetapi cabaran terbesar ialah bagaimana membuat susunan barisan kepimpinan baharu. Seperti yang telah disebutkan oleh Dr. Jeffrey, siapa yang akan menjadi presiden?

Identiti personaliti yang memimpin parti adalah sangat kritikal dalam memaksimumkan pengaruh parti baru itu. Pairin boleh terus menjadi penasihat presiden (presidential advisor), tetapi siapakah yang akan menjadi presiden dan dari parti mana? Pertimbangan antara Dr Jeffrey dan Dr. Max akan memberi kelebihan kepada Dr. Jeffrey kerana ia seorang ahli parlimen, seorang Adun, timbalan ketua menteri pertama — dan juga adik kepada Pairin.

Tetapi pemilihan presiden dalam kes sedemikian paling kerap diselesaikan dengan politik, bukan dengan logik. Apa yang munasabah kepada kepimpinan tertinggi mungkin dilihat tidak boleh diterima oleh pemimpin peringkat bawahan, yang pada peringkat mereka, juga akan wujud dan pertembungan antara sendiri. Perebutan kuasa akan timbul apabila ahli kedua-dua pihak berusaha untuk mengekalkan atau mendapatkan pengaruh dalam entiti yang digabungkan, dengan sesetengah pihak bimbang akan dikompromi atau takut kehilangan pengaruh mereka. Usaha untuk mengimbangi dinamik kuasa dan memastikan perwakilan yang adil boleh menjadi rumit dan akan membawa kepada pertelingkahan dalaman.

Sebilangan besar persoalan ini akan timbul dalam rundingan penggabungan dan pasti akan menjadikan keseluruhan proses begitu menyusahkan, mlah menyakitkan. Pelbagai isu kecil yang berkaitan yang tidak dijangka pada masa ini juga berkemungkinan akan muncul. Sudah tentu, motivasi utama di kalangan pemimpin parti yang berunding adalah untuk kepentingan diri sendiri dan tidak begitu banyak untuk kebaikan umum masa depan Momogun dalam percaturan politik Sabah dan Malaysia.

Raymond Tombung

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Sabah Baru News

Exit mobile version