Site icon Sabah Baru News

Belia perlu pendedahan awal ilmu pengurusan jenazah – Mizma

LAHAD DATU: Ilmu pengurusan jenazah penting dan perlu didedahkan kepada umum terutama belia supaya mudah sekiranya berlaku kematian dalam kalangan ahli keluarga mereka.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Mizma Appehdullah berkata program bengkel pengurusan jenazah sangat baik dan memberi impak positif kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan program sebegini dan sentiasa memberi sokongan termasuklah memberi saluran dana kepada penganjur.

“Kita melihat program ini sangat bermanfaat kepada generasi muda kerana mereka didedahkan ilmu pengurusan jenazah dengan lengkap.

“Ia memberi satu impak yang besar dari sudut pemikiran peserta bagi melaksanakan proses urusan jenazah sekiranya berlaku dalam kalangan keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Masjid Nurul Aman Lahad Datu, semalam.

Salah seorang peserta, Masdiana Amidun berkata pelbagai manfaat dan ilmu baharu yang diperolehi semasa menghadiri program berkenaan.

“Saya dapat mengetahui cara memandikan dan mengkafankan jenazah serta menjadi ilmu yang boleh dipraktikkan pada masa akan datang,” katanya.

Pengerusi Penganjur Kursus, Dr Mohd Ayub Yakub pula berkata, objektif kursus pengurusan jenazah ini memberi pengetahuan dan kefahaman kepada semua lapisan masyarakat agar tahu ilmu pengurusan fardhu kifayah.

“Ia juga memberi pendedahan asas fardhu kifayah khasnya kepada para jemaah masjid terutama golongan belia yang kurang cakna kepentingan kemahiran pengurusan jenazah,” katanya.

Terdahulu, seramai 284 peserta mengikuti kursus yang disampaikan Imam Kariah JHEINS Lahad Datu, Ustaz Mohd Yunus Abu dibantu oleh Ustazah Nurhaedah Sining, Ustazah Suhaimi Abas dan Ustazah Aida Issi.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version