Site icon Sabah Baru News

Gagasan Rakyat, GRS dan kelebihan politik stabil

SABAH dan rakyat Sabah amat  memerlukan kestabilan politik kerana itu sajalah pilihan terbaik yang mampu membangkitkan keupayaan Sabah untuk bergerak ke hadapan dengan  keyakinan politik dan ekonomi.

Kestabilan politik sangat penting kerana ia mencorak nasib dan masadepan serta kesejahteraan hidup rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah.

Tidak ada perkara yang boleh membanggakan rakyat dan negeri Sabah jika rakyat dan negeri itu terus dibebani dan dibelenggui oleh masalah ketidakstabilan politik, seolah-olah suatu ‘krisis keyakinan’ yang terlalu sukar dipulih.

Adakah ketidakstabilan politik itu disebabkan oleh sikap masyarakat Sabah sendiri yang walaupun mereka tahu dan sedar apa yang berlaku, tetapi sengaja membiarkan diri mereka menjadi sebahagian daripada masalah itu.

Faktor lain yang boleh dibincangkan di sini ialah tentang peranan dan kesan kehadiran parti-parti politik berasaskan nasional yang bertapak di Sabah.

Isunya ialah sejauh manakah parti-parti politik tersebut telah membantu mewujudkan kestabilan politik di Sabah, dan dalam konteks ini keupayaan parti-parti berkenaan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum, etnik dan agama di Sabah. 

Juga, apakah parti dari luar Sabah itu memahami dan menyantuni citra lokal dalam erti kata sebenar.

Yang ketara dan paling menonjol suatu ketika dahulu ialah naratif ‘fixed deposit’, di mana pemainnya adalah  orang-orang Sabah sendiri yang cukup bertoleransi memberikan  kedudukan dan kuasa kepada parti politik berasaskan nasional yang bertapak di Sabah.    

Kerana itu, di zaman fixed deposit, mana-mana pemimpin Sabah yang diangkat untuk menerajui Kerajaan Negeri adalah juga anggota, pemimpin dan pemegang taruh dalam parti politik berasaskan nasional. 

Bergerak ke hadapan, negeri-negeri Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak kini telah diiktiraf sebagai Wilayah dalam Persekutuan Malaysia.

Justeru, kedudukan sebagai Wilayah itu perlu diisi dan dimanfaatkan sebagaimana maksud dan matlamat di sebalik pengiktirafan itu, kerana ia bukan cerita sejarah. 

Maknanya, Sabah sebagai Wilayah memerlukan eko-sistem dan anjakan paradigma politik baharu, terutama sekali membina hala tuju politik yang yang lebih mampan, kondusif dan benar-benar memenuhi citra rakyat Sabah.

Sudah tentu kedudukan Sabah sebagai sebuah Wilayah akan menuntut komitmen rakyat Malaysia di Sabah untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga dan memelihara hak-hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah, tanpa kebergantungan kepada parti-parti politik dari luar Sabah.  

Justeru, penubuhan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diterajui oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, dilihat sangat wajar dan bertanggungjawab serta niat terbaik untuk memulihkan perpaduan rakyat dan membina kestabilan politik negeri. 

PERJUANGAN: Hajiji bersama Ketua Wanita GRS sempena Pelancaran Jelajah Wanita GRS di SICC Kota Kinabalu, Ahad lepas.

Dengan kata lain,  Gagasan Rakyat, yang juga anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menawarkan kepada rakyat Sabah satu kaedah penyelesaian kepada masalah  politik di Sabah. 

Gagasan Rakyat bukan gerakan solo kerana penubuhannya dimotivasikan oleh  sentimen lokal yang mahukan  anak-anak Sabah memainkan peranan lebih dominan dalam menjaga dan mengurus hal-ehwal negeri, hatta menjaga dan memelihara hak-hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

Dalam hubungan ini, Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah dan juga sebagai anak jati Sabah mempunyai banyak sebab dan alasan untuk memahami  sentimen rakyat akar umbi, jika tidak rakyat Sabah mungkin terpaksa memikirkan cara lain, termasuklah mencari pemimpin politik dan anak tempatan lain yang sanggup menyantuni impian dan harapan mereka.  

Dengan mengetuai Gagasan Rakyat,  Hajiji sebenarnya membuat pengorbanan besar, bahkan berisiko, kerana sanggup keluar dari zon selesa di bawah naungan parti politik berasaskan nasional.

Dengan memimpin sebuah parti politik berasaskan tempatan, iaitu Gagasan Rakyat, Hajiji boleh berurusan dengan rakyat Sabah, tanpa merasakan dirinya seorang ‘perantara’ atau ‘orang tengah’.

Hajiji berani menyahut cabaran memimpin parti politik tempatan kerana beliau tahu bahawa pemegang taruh – stake holders – dalam parti Gagasan Rakyat dan juga GRS adalah rakyat  Sabah. 

Hajiji yakin dengan langkah itu kerana dia faham kestabilan politik Sabah, sekalipun dibina melalui parti-parti politik tempatan,  bukan sahaja memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri Sabah tetapi juga Persekutuan Malaysia.  

Sebagai seorang pemimpin yang cukup berpengalaman, Hajiji memahami betapa  pentingnya tanggungjawab memelihara dan mempertahankan sistem Persekutuan. 

Sebagai Ketua Gagasan Rakyat, beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab besar untuk memelihara dan mempertahankan  hak-hak dan kepentingan rakyat Sabah, mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Ada pihak mendakwa pembentukan Gagasan Rakyat  sebagai survival politik Hajiji dan rakan-rakannya dalam parti tersebut.

Bagaimana pula dengan orang lain yang menceburi kerjaya politik? Adakah mereka langsung   tidak memikirkan survival politik apabila berpeluang mendapat kedudukan dalam politik? 

Realitinya ialah sama ada  ahli politik itu berada dalam pembangkang atau parti memerintah, permainannya tetap sama, iaitu mengharapkan survival politik. 

Konotasi survival adalah bersifat sejagat. Manusia dan semua benda  hidup dan bergerak di muka bumi mengharapkan kelangsungan hidup. 

Hutan rimba, walaupun tidak dapat berkomunikasi dengan manusia, sebenarnya berjuang untuk kelangsungan hidup dan begitu juga dengan segala makhluk dan hidupan liar yang menghuninya.

Bagaimana pula dengan cubaan menjatuhkan  Hajiji pada Januari  2023? Adakah tindakan seperti itu langsung tiada kena mengena dan tidak boleh dikaitkan dengan  survival politik?  

Ternyata, peristiwa itu telah mengukuhkan kedudukan Hajiji kerana pada hakikatnya tindakan  itu  sebenarnya mahu menguji kesepaduan dan semangat setiakawan di antara penyokong dan pemimpin Gagasan Rakyat dan GRS dan juga satu ujian kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji.  

Dengan berlalunya episod Januari itu, maka tugas dan tanggungjawab rakyat Sabah sekarang ialah menyatukan sinergi, melakukan hijrah politik, supaya sejarah fixed deposit tidak akan berulang lagi dan  menjadikan kestabilan politik sebagai motivasi dan  kekuatan baharu rakyat dan Sabah, yang boleh direalisasikan melalui perpaduan di bawah naungan parti politik tempatan yang dipimpin oleh anak-anak jati Sabah. 

Inilah sebenarnya yang hendak diperjuangkan oleh kerajaan GRS dan parti Gagasan Rakyat  di bawah pimpinan Hajiji. 

–Emin Madi

*Penulis adalah wartawan veteran Sabah. Artikel ini adalah berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik.

Exit mobile version