Site icon Sabah Baru News

Resolusi hasil 40% dalam setahun,Tidak perlu fikirkan formula baru, kata Jeffrey

KOTA KINABALU: Resolusi kepada pemberian khas 40 peratus kepada Sabah dijangka dicapai dalam tempoh setahun akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

“Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang bersetuju menerima pakai resolusi ini,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Beliau menekankan bahawa penyelesaian isu itu, yang belum selesai sejak 58 tahun lalu, adalah penting untuk memastikan Sabah menerima hak hasil yang sewajarnya.

Mewakili Kerajaan Sabah dalam jawatankuasa MA63, Jeffrey menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berjanji untuk menunaikan hak perlembagaan yang tertunggak itu.

“Rakyat Sabah telah menunggu lebih setengah abad untuk detik ini, dan ia tanggungjawab kita untuk memastikan penantian itu tidak terus berpanjangan,” katanya.

Jeffrey berkata beliau mengiktiraf dan menghargai peruntukan pemberian khas sementara berjumlah RM300 juta daripada Putrajaya, tetapi segera menekankan bahawa ini hanya boleh menjadi penyelesaian sementara.

“Peruntukan sementara itu, walaupun besar, hanyalah sebahagian daripada apa yang sepatutnya diberikan kepada Sabah. RM300 juta itu sememangnya satu langkah positif, tetapi matlamat utama kami ialah merealisasikan hak 40 peratus hasil bersih itu,” katanya.

Ahli Parlimen Keningau itu menambah, formula baharu tidak perlu dirangka untuk pemberian khas hasil itu.Beliau menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menyediakan mekanisme yang jelas untuk ini, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D, 112C dan 112C(6), bersama dengan Perenggan 24 Laporan IGC.

“Maklumat atau data yang diperlukan untuk pengiraan ini boleh dan perlu disediakan oleh agensi persekutuan seperti Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

“Rangka kerja itu ada – apa yang kita perlukan sekarang ialah data yang sesuai,” katanya.

Jeffrey juga mencadangkan agar Sarawak menggunakan formula yang sama seperti Sabah, bukannya mencipta formula berasingan.

“Saya percaya bahawa keseragaman itu bukan sahaja akan membawa kekonsistenan tetapi juga mempercepatkan proses penyelesaian dan mengelakkan kelewatan selanjutnya,” katanya.

Jeffrey juga menjelaskan bahawa penerimaan pemberian khas RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan tidak boleh disalah anggap sebagai Sabah melepaskan haknya kepada 40 peratus hasil bersih itu.

Sebaliknya, tegas beliau, ia adalah langkah sementara manakala isu utama terus diusahakan.“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus komited untuk menjaga hak dan kepentingan Sabah.

“Tuduhan pembangkang bahawa GRS telah menyebabkan Sabah kehilangan haknya kepada 40 peratus itu adalah tidak berasas dan serangan berterusan terhadap pentadbiran kita.

“Kami menyeru semua pihak, khususnya Kerajaan Persekutuan, untuk memberi kerjasama dan memastikan perkara ini diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Ia demi kepentingan terbaik rakyat Sabah untuk kita memperoleh bahagian hasil kita yang sewajarnya, melindungi autonomi negeri, dan terus membangunkan ekonomi kita untuk kesejahteraan rakyat kita,” katanya.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas Datuk James Ligunjang.

Baru-baru ini, pejuang hak asasi Sabah, Datuk James Ligunjang telah menyeru agar Kerajaan Negeri mula bertindak sewajarnya berhubung hak 40 peratusnya.

Beliau berkata isu hak 40 peratus Sabah merupakan rungutan lama yang tidak dapat diselesaikan sejak 60 tahun lalu sejak negeri itu menyertai pembentukan Malaysia pada 1963.

Dalam menyertai pembentukan persekutuan Malaysia, Sabah dijanjikan hak 40 peratus hasil daripada Kerajaan Persekutuan, katanya.

“Bagaimanapun, janji ini tidak pernah ditunaikan sepenuhnya, dan kini sudah tiba masanya untuk menangani perkara ini dan memastikan hak itu diberikan tanpa sebarang kompromi,” kata Ligunjang.

Beliau berkata beberapa akibat daripada janji yang tidak ditunaikan ini ialah pembangunan infrastruktur yang tidak mencukupi, kekurangan dana sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta kekurangan peluang ekonomi untuk rakyat Sabah.

Potensi negeri ini tidak dapat direalisasikan sepenuhnya kerana kekurangan peruntukan sumber yang saksama dan ini telah mengakibatkan jurang perbezaan antara Sabah dan negeri-negeri yang lebih maju dalam Malaysia, katanya.

–TAMAT

Exit mobile version