Site icon Sabah Baru News

Wanita LDP komited bersama GRS memperjuangkan hak Sabah

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Pusat Parti Liberal Demokratik (LDP) menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana sudi menerima parti itu menjadi sebahagian dalam Komponen GRS.

Ketuanya Glenna Wong berkata, pihaknya menjamin akan memberikan sokongan penuh kepada komitmen GRS untuk memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah.

Katanya, sebagai ahli GRS, LDP akan terus memperjuangkan untuk mendapatkan semula hak Sabah di dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, penting sekiranya kerajaan Persekutuan faham mengenai hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63, sekali gus mengiktiraf Sabah sebagai rakan sama rata dalam Perlembagaan Malaysia bagi memastikan keseimbangan dan keadilan dalam pembangunan.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada pelancaran Jelajah Wanita GRS di sini, baru-baru ini.

Katanya, pembangunan wanita, keluarga dan komuniti adalah tumpuan utama diberikan pihaknya.

“Kami menggalakkan wanita untuk menyertai pembangunan negara dan memastikan mereka mempunyai peluang sama rata dalam keusahawanan.

“Kami juga mahu melihat wanita memainkan peranan penting dalam proses membuat dasar. Data juga menunjukkan golongan wanita terdiri daripada 48.5 peratus dalam populasi negara ini.

“Sekiranya potensi wanita dapat dicapai sepenuhnya, wanita mampu memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ekonomi, politik, kebudayaan dan komuniti,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jumlah wanita dalam kepimpinan politik dilihat masih rendah iaitu pada 0.1 peratus sahaja, ia menunjukkan kekurangan yang terdapat pada wanita berbanding lelaki dalam jawatan di kementerian atau sebagai wakil rakyat.

Dalam pada itu, Glenna turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor kerana mengiktiraf sumbangan wanita dalam pentadbiran dan pengurusan. Sebagai contohnya bandaraya ini mempunyai Mayor wanita pertama dan Peguam Besar negeri juga seorang wanita.

Beliau juga memberikan jaminan bahawa pihaknya akan bekerja rapat dengan Sayap Wanita GRS untuk ke arah mendapatkan pengiktirafan yang lebih tinggi terhadap keupayaan wanita di Sabah.

Katanya, LDP juga akan mengutamakan kesaksamaan gender dan memperkasakan penyertaan wanita dalam semua industri bagi membolehkan golongan itu terlibat sama untuk mempertahankan hak serta meningkatkan kemajuan sosial.

— Yap Siong Han

Exit mobile version