BELURAN: Keadilan dalam pembahagian kerusi antara yang dibincangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pembahagian kerusi antara GRS dan BN akan dilakukan secara adil.
Katanya, perbincangan antara kepimpinan kedua-dua parti itu dibuat demi mewujudkan persefahaman yang mantap menjelang PRU15 nanti.
“Kita mahu hubungan antara GRS dan BN terus terjalin seperti terbentuknya kerajaan negeri Sabah pada hari ini.
“Saya mengharapkan kedua-dua parti ini dapat menzahirkan kerjasama politik yang lebih baik pada PRU kali ini,” katanya ketika ditemui media, di sini semalam.
Menurutnya, kerjasama itu perlu dilakukan kerana ia adalah satu bentuk kesedaran bahawa perlunya kestabilan politik yang berterusan di negeri ini.
“Kita mengharapkan GRS dan BN akan terus mewujudkan kestabilan politik supaya dapat menumpukan soal pembangunan negeri Sabah.
“Kerajaan negeri yang ada pada hari ini perlu terus mengangkat soal keperluan yang diharapkan oleh rakyat,” katanya.