Site icon Sabah Baru News

NGO-kerajaan negeri perlu terus kerjasama laksana projek komuniti – Masidi

KOTA KINABALU: Badan bukan kerajaan (NGO) diseru untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam projek pembangunan komuniti khususnya di kawasan pedalaman.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, projek yang dilaksanakan Kelab Rotary Kota Kinabalu Pearl (RCKKPearl) di Ranau, Pitas serta kawasan pedalaman yang lain adalah contoh terbaik dan sangat dialu-alukan kerajaan negeri.

“NGO seperti RCKKPearl mempunyai rekod cemerlang dalam menjayakan projek pembangunan komuniti.

“Saya memuji mereka atas komitmen yang ditunjukkan walaupun berhadapan dengan kekangan kewangan tetapi masih mampu memberikan impak positif kepada masyarakat.

“Saya mendapati kerjasama kerajaan-NGO sangat berkesan untuk projek seumpamanya memandangkan kita mampu berbelanja kurang tetapi masih boleh beri manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertabalan RCKKPearl kesembilan di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Masidi turut mengumumkan geran peruntukan RM100,000 kepada badan berkenaan bagi memenuhi usaha kelab itu yang kini sudah berjaya mengumpul dana amal berjumlah RM400,000.

Katanya, geran yang diberikan itu bukan untuk dibelanjakan sesuka hati sebaliknya adalah pemberian oleh kerajaan negeri yang mengiktiraf dan menyokong projek bekalan air bagi penduduk kampung di Pitas, Kota Marudu dan Ulu Sugut, Ranau yang bakal dilaksanakan.

Ketika ditemui pemberita, Masidi menjelaskan kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohonan geran daripada organisasi lain dengan syarat mempunyai perincian khusus mengenai projek komuniti yang mahu dilaksanakan.

“Kadang-kadang ia bukan sekadar mempunyai dana untuk melaksanakan projek, tetapi keupayaan untuk menggunakan sepenuhnya sumber berkenaan secara berkesan dan RCKKPearl sangat cemerlang dalam aspek ini kerana mereka bijak menguruskan dana amal dengan dedikasi serta usaha keras,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version