Site icon Sabah Baru News

Di kanan Hajiji, di kiri Abang Jo: Antara jiwa lokal dan citra nasional

Hajiji said it is the Borneo states that, for the first time, ensured political stability in Malaysia following a hung parliament and years of political instability.

PAGI Sabtu, langit di Selangor cuacanya cerah. Matahari bersinar terang. Bahangnya terasa seperti membakar ubun-ubun. Keringat pun menitis deras.

Begitupun, orang nombor satu Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, tetap gah berjalan di sisi kanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Hajiji hadir mengiring calon Pakatan Harapan (PH) ke pusat penamaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, yang diadakan bersama-sama lima negeri lain di Semenanjung — Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Di kiri Perdana Menteri pula, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg melengkapkan gandingan kepimpinan Blok Borneo, penguat akar tunjang kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bertopi putih, berbaju lengan pendek Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji hadir di tiga pusat penamaan calon di Selangor, iaitu SMK Sungai Pusu, Dewan Majlis  Perbandaran Selayang dan Dewan Dato Ahmad Razali.

Demikian juga Premier Sarawak yang lebih mesra dengan panggilan Abang Jo, turut mengenakan baju putih berlengan panjang Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kehadiran dua sosok pemimpin Blok Borneo ini sekali gus menjadi signal jelas dukungan terhadap Kerajaan Perpaduan, yang menggabungkan 19 parti kesemuanya di bawah satu bumbung.

Secara terbuka, kedua-dua kerajaan GRS dan GPS menyatakan komitmen padu, menggerakkan jentera dan pemimpin membantu calon-calon PH di mana pun mereka bertanding di enam negeri kali ini.

Hajiji dan Abang Jo terbang menyeberangi Laut China Selatan, sebagai manifestasi sebuah perjuangan abadi dengan naratif  paksi politik yang berjiwa lokal tapi citranya nasional.

Kehadiran pemimpin GRS dan GPS membantu kempen calon PH, membawa signifikan penting mengenai peranan dan sumbangan kedua-dua gabungan parti kepada jajaran politik nasional.

Berpayung di bawah horizon Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, sememangnya hubungan antara Putrajaya dan Menara Kinabalu sesuatu yang harus disuburkan demi untuk sebuah kemajuan.

Sementara GRS memperkukuh citra perjuangan sebagai jajaran lokal dengan formula tempatan, kerjasama dengan parti sekutu dalam kerajaan di peringkat nasional tidak dipinggirkan kerana kita berada dalam ekosistem federalisme sebuah negara.

Sebab itu, citra perjuangan `Sayangi Sabah’ GRS berteraskan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, tetap juga meletakkan konsep Malaysia Madani sebagai keutamaan kerana ia bukan retorik semata-mata seperti tanggapan segelintir agas-agas politik.

Sebagai sebuah kerajaan ber-Persekutuan, Sabah (dan Sarawak serta negeri-negeri lain) memerlukan kerjasama dua hala negeri-Pusat, melalui konteks kesaksamaan membangun negara secara keseluruhannya.

Demi kestabilan, pendekatan `menang-menang’ harus sentiasa menjadi tonggak pertimbangan. 

Apatah lagi kerajaan PH kini fokus kepada inisiatif yang menjurus ke arah memacu pertumbuhan ekonomi selain mementingkan tata kelola yang baik dan pragmatik ke arah Malaysia yang progresif.

Inilah pendekatan Hajiji dalam merungkai setiap hal yang menyangkut urusan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan. 

Dalam diam, Hajiji menyelesaikan banyak hal membabitkan kepentingan lokal. Meja perbincangan sentiasa menjadi wadah penyelesaiannya.

Maka dalam tempoh belum sampai tiga tahun, Sabah berhasil mencatat banyak kemajuan dan pencapaian signifikan  — tentunya daripada pimpinan proaktif Hajiji — biarpun beliau tidak pernah sunyi dikritik bertubi-tubi oleh para politisi dari berbagai penjuru.

Hakikatnya, kehadiran kepimpinan Sabah dan Sarawak dalam kempen membantu PH dalam PRN enam negeri di Semenanjung, adalah manifestasi sebuah perjuangan besar menyusuri kepimpinan Perdana Menteri ke-10 membawa dimensi politik baharu.

Di kanannya Hajiji, di kirinya Abang Jo — tentunya kehadiran kedua-dua pemimpin Blok Borneo ini besar ertinya bagi Anwar merintis jalan baharu untuk Malaysia.

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pemerhatian beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.

Exit mobile version