Site icon Sabah Baru News

Rumah Mesra bantu golongan miskin miliki kediaman sendiri

KUNAK: Pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi manfaat kepada penerima khususnya golongan miskin dan miskin tegar yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kunak, Hussin Mohd Rais berkata, sebelum ini 20 buah rumah SMJ dicadangkan untuk dibina sejak awal tahun ini dengan, masing-masing, 12 dikemukakan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan lapan lagi oleh Pejabat Daerah.

“Ketika ini, masih terdapat beberapa Rumah Mesra SMJ dalam pembinaan sementara yang lain telahpun siap dibina dan diduduki oleh penerima,” katanya kepada Daily Express selepas meninjau sebuah rumah SMJ di Kg Kadazan yang sudah didiami oleh penerima.

Hussin berkata, antara rumah SMJ yang sedang dan akan dibina termasuk di Kg Lormalong, Kg Getah, Kg Mostyn Lama, Kg Pangi, Kg Kunak Jaya dan Kg Kadazan.

“Sebahagian yang telah dibina merupakan apa yang kami (UPPM) cadangkan sebelum ini hasil daripada kajian dan lawatan lapangan bagi mengenalpasti rakyat yang memerlukan bantuan rumah.

“Pembinaan Rumah Mesra SMJ sejajar dengan inisiatif halatuju Sabah Maju Jaya bagi membantu golongan miskin yang memerlukan rumah sempurna,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima rumah SMJ di Kg.Kadazan, Maduali Saini berkata, beliau menghargai komitmen dan sokongan daripada Unit UPPM Kunak yang meninjau keadaan rumahnya pada Oktober tahun lalu dan seterusnya meluluskan permohonannya untuk mendapat bantuan itu.

—  Ibrahim Tabir

Exit mobile version