Kenyataan yang tular mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilarang memasuki Arab Saudi kerana ideologi pengganas, adalah palsu, kata Pas.
KUALA LUMPUR: Kenyataan yang tular mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilarang memasuki Arab Saudi kerana ideologi pengganas adalah palsu.
Parti Islam itu dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, penyebaran dakwaan sedemikian merupakan bukti terdapat pihak yang ketandusan idea untuk bersaing secara demokratik, matang dan bermaruah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
“Faktanya adalah kenyataan rasmi Arab Saudi menggunakan tahun hijrah, bukan masihi dan Abdul Hadi bukan lagi Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.
“Ayuh bersama Perikatan Nasional (PN), kita lenyapkan budaya politik yang rendah akal budi seperti ini dan kita bina negara yang bersih dan stabil,” kata Pas dalam kenyataan itu, pada Selasa.
Terdahulu, tular di media sosial sejak Isnin satu kenyataan kononnya Abdul Hadi dilarang memasuki Arab Saudi kerana didakwa mempunyai ideologi pengganas.
— AWANI