Site icon Sabah Baru News

Sekolah Adat, BorIIS bakal tandatangani Perjanjian Penyelidikan

KOTA KINABALU: Selepas enam bulan berbincang, Sekolah Adat Anak Negeri (SA) dan Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) akhirnya akan menandatangani Perjanjian Penyelidikan yang akan memperkasakan adat serta identiti masyarakat orang asal Sabah, minggu depan.

Ini adalah satu perkembangan yang amat membanggakan bagi kedua-dua pihak kerana kini mereka boleh saling membantu antara satu dengan lain dan berjalan bergandingan tangan untuk mengangkat martabat adat orang asal.

Pengasas Sekolah Adat Shalmon Sanangan berkata, kajian bersama SA dan kumpulan penyelidik BorIIS sudah dimuktamadkan kelmarin selepas mesyuarat diadakan bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

“Kajian bersama itu adalah untuk menambahbaik sukatan pelajaran dan penerbitan buku teks yang berkualiti untuk Sekolah Adat Anak Negeri Sabah agar pendidikan adat budaya berada di tahap yang memuaskan.

“Hasil kajian bersama ini dijangka memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat Orang Asal di Borneo, khususnya di Sabah. 

“Saya katakan Borneo sebab wujud persamaan budaya yang signifikan antara masyarakat di Kepulauan Borneo dari segi bahasa, amalan, adat dan aspek-aspek lain, dengan masyarakat orang asal di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tujuan asas pendidikan adat dan budaya adalah untuk memelihara dan melestarikan identiti suatu etnik untuk mengelak kepupusan mereka.

Ini juga bagi memastikan kelangsungan hayat adat dan budaya tersebut dari generasi ke generasi.

Shalmon yang juga Presiden Persatuan Pengamal Adat Tradisional Sabah (Sunduan Nabalu) berkata, inisiatif ini boleh dicapai dengan adanya sukatan pelajaran dan kandungan buku teks yang ditambah baik melalui dapatan kajian yang dilakukan oleh BorIIS.

Proses perbincangan antara pihak Sekolah Adat dan pihak penyelidik BorIIS telah mengambil masa sekitar enam bulan sebelum dimuktamadkan.

Ia mengambil masa kerana perlu melalui banyak proses teknikal dan undang-undang.Katanya, selain memberi tumpuan kepada kurikulum dan buku teks, kajian juga akan membabitkan kajian komuniti selaku pemegang taruh adat dan budaya setempat, serta amalan terbaik proses pembelajaran dan pengajaran di Sekolah Adat. 

Kajian bersama ini akan memakan masa selama lima tahun dan boleh disambung mengikut keperluan kedua-dua belah pihak.Sehingga kini, Sunduan Nabalu sudah membuka lima sekolah adat di Tuaran, Telipok, Sapulut, Tongod dan Kiulu.

Misi Sunduan Nabalu adalah membina satu sekolah adat di setiap daerah Sabah.Shalmon pernah berkata bahawa sokongan semua akar umbi, pemimpin dan kerajaan boleh menjadikan misi itu satu realiti.

Dengan penyertaan BORIIS, ia akan memberi momentum yang diperlukan untuk ia bergerak lebih gagah.Dalam sesi yang sama, Dr Jeffrey menyatakan mengenai inspirasi baru Orang Asal iaitu tanda pagar roadtoUNESCO (#roadtoUNESCO). 

#roadtoUNESCO ini adalah usaha untuk menyenaraikan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah di bawah cakupan Warisan Tidak Ketara UNESCO (UNESCO Intangible Cultural Heritage List’s Register of Good Safeguarding Practices).

Ini kerana perjanjian penyelidikan tersebut akan memudahkan SA menghampiri kelayakan untuk disenarai sebagai Sekolah Adat dalam senarai Good Safeguarding Practices, yang dianugerahkan kepada badan-badan yang berjaya mengatasi cabaran dalam menjaga amalan budaya dan adat mereka untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

UNESCO atau Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merupakan badan dunia yang mempromosikan keamanan dan keselamatan melalui pendidikan, sains, seni dan kebudayaan.

Dalam hal ini, Dr Jeffrey berjanji untuk bertemu dengan Ketua Menteri Sabah dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan selanjutnya berkaitan sokongan kerajaan negeri kepada pelestarian adat dan budaya masyarakat Orang Asal negeri Sabah.

“Jika berjaya, penyenaraian di senarai UNESCO tersebut akan membawa banyak faedah kepada negeri ini, khususnya kepada Sekolah Adat Negeri Sabah. 

“Sebagai contoh, sekolah adat di negara Filipina baru sahaja tersenarai pada tahun 2022 di mana mereka mempunyai 28 buah Sekolah Adat,” tambahnya.

Sekolah Adat Negeri Sabah bermula pada 2019 manakala sekolah adat di negara Filipina yang mereka gelar sebagai School of Living Traditions dimulakan hanya setahun lebih awal daripada SA. 

Shalmon menyatakan rasa kesyukuran kerana penat lelah mereka selama lima tahun ini akhirnya membawa hasil yang positif untuk masyarakat Orang Asal Sabah.

Pertemuan untuk memuktamadkan perjanjian ini dihadiri oleh Ketua Penyelidik BorIIS Dr Jeannet Stephen dan Zecter Baikan.

Pihak Sekolah Adat pula diwakili oleh Shalmon dan Velo Razer Lonni selaku Pengarah Sekolah Adat Anak Negeri Sabah.Satu gimik penandatanganan perjanjian akan diadakan semasa Perayaan Hari Orang Asal Sedunia 2023 se-Borneo di Hongkod Koisaan, KDCA Penampang pada 8 hingga 9 Ogos ini.

Exit mobile version