Site icon Sabah Baru News

WARISAN nafi kejayaan kerajaan GRS cuba kelirukan rakyat – Nizam

KOTA KINABALU: Tindakan pemimpin Parti Warisan (WARISAN) yang menafikan kejayaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meningkatkan ekonomi negeri dilihat cuba mengelirukan rakyat Sabah.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, banyak kejayaan yang dicapai oleh kerajaan negeri selama dua tahun setengah memerintah Sabah.

Katanya, pemimpin WARISAN sengaja membutakan mata mereka dengan menafikan kejayaan pencapaian kerajaan GRS dalam meningkatkan ekonomi negeri Sabah.

“Kejayaan kerajaan GRS mengadakan industri pembuatan seperti kilang pembuatan kerajang tembaga kerjasama kerajaan Sabah dengan Korea Selatan antara usaha yang telah dilaksanakan.

“Ia adalah komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan industri hiliran yang mencipta peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak rakyat di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian dalam kenyataan media baru-baru ini.

Selain itu, katanya, kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati Kudat telah mencipta ribuan peluang pekerjaan disamping limpahan aktiviti ekonomi menerusi pengwujudan vendor-vendor perniagaan.

“Apabila keluaran hiliran ini beroperasi sepenuhnya, maka barangan akan dieksport dan nilainya tercatat pada nilai dagangan negeri pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, WARISAN telah mempertikai nilai eksport Sabah tahun lalu kerana 73.4 peratus jumlah nilai itu adalah daripada minyak mentah, minyak kelapa sawit dan gas LNG.

“Mereka menyatakan jumlah itu tidak seperti nilai eksport negeri Sarawak yang mencatatkan dagangan keluaran industri pembuatan bernilai lebih separuh dari jumlah nilai eksport Sabah.

“Pada hakikatnya, WARISAN cuba mengelirukan rakyat dengan menyembunyikan hasil industri pembuatan Sarawak sebenarnya daripada kilang-kilang pembuatan di negeri itu yang sudah wujud berdekad lamanya,” katanya.

Nizam berkata, memang nilai eksport Sabah pada tahun lalu yang berjumlah RM77.2 bilion lebih 70 peratus daripada minyak mentah, minyak kelapa sawit dan Gas LNG.

“Nisbah itu akan berubah, apabila nilai eksport daripada industri pembuatan yang menuju penyiapan dan mula mengeluarkan keluaran.

“Pewujudan kilang berasaskan pembuatan tidak sama seperti menanam jagung, tiga bulan boleh dituai hasil kerana kilang industri memerlukan masa,” katanya.

Beliau berkata, Sabah juga sudah mengadakan perjanjian kerjasama dengan PETRONAS berkaitan industri hiliran, selain dengan syarikat luar negara berkaitan tenaga boleh ganti atau tenaga hijau.

Katanya, kerajaan WARISAN yang memerintah Sabah selama 27 bulan yang lalu, dilihat telah gagal mentransformasikan ekonomi negeri Sabah.

“Tidak ingatkah pemimpin WARISAN bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah menguncup pada negatif 9.5 peratus pada tahun 2020, sedangkan mereka mewarisi pertumbuhan ekonomi di atas lapan peratus pada 2018.

“Justeru, kerajaan Sabah menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berada di landasan betul dan mempunyai matlamat jelas mewujudkan rakyat sejahtera serta negeri maju,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version