Site icon Sabah Baru News

Sabah kutip CJN minyak sawit mentah RM6.22 bilion sejak 2018 – Julita

KOTA KINABALU: Kutipan keseluruhan Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas minyak sawit mentah bermula 2018 sehingga Julai tahun ini berjumlah RM6.22 billion.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Julita Mojungki berkata, CJN ke atas minyak sawit mentah antara sumber hasil utama kepada kewangan negeri. Pada 2022, cukai berkenaan menyumbang sebanyak 22 peratus ke atas keseluruhan hasil negeri.

Bagaimanapun katanya, prestasi pungutan cukai itu amat bergantung kepada perubahan persekitaran ekonomi dan pasaran global.

“Penentuan harga dan pengeluaran minyak sawit mentah juga adalah di luar kawalan kerajaan negeri. Justeru, dapat dilihat perubahan ke atas prestasi pungutan cukai setiap tahun,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Justin Wong Yung Bin (WARISAN-Sri Tanjong) mengenai jumlah kutipan kerajaan daripada CJN sebanyak 7.5 peratus ke atas minyak sawit mentah sejak 2018.

Menurutnya, sebagai salah satu penyumbang utama kepada hasil negeri, hasil kutipan CJN ke atas minyak sawit mentah juga melimpah kepada pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini secara keseluruhan.

Dalam pada itu katanya, mengenai peruntukan bagi membaiki jalan di kawasan ladang kelapa sawit, terdapat dua jenis jalan yang diselenggara oleh kerajaan negeri dan berdaftar dalam Sistem MARRIS di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi jalan berturap dan tidak berturap.

“Bagi tempoh 2018 sehingga 2023, sebanyak RM5.95 juta dengan melibatkan jumlah jalan sepanjang 105.66 kilometer (km) dibelanjakan bagi menyelenggara jalan berturap dan RM87.74 juta dengan melibatkan jumlah jalan sepanjang 518.45km bagi jalan tidak berturap. 

“Secara keseluruhannya, jalan-jalan berkenaan melibatkan daerah Beaufort, Keningau, Kinabatangan, Kudat, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Tawau dan Telupid,” jelasnya.

Julita berkata, terdapat jalan di kawasan ladang kelapa sawit yang dibina sendiri oleh pemilik estet berkenaan. Sehubungan itu, ia adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah.

Menurutnya,  tindakan menyelenggara jalan terabit bagi memberikan keselesaan serta menjamin keselamatan semua pengguna yang mana kos penyelenggaraan ditanggung oleh pemilik estet sendiri.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version