Site icon Sabah Baru News

Perdagangan karbon, alam sekitar dan dasar SMJ

TIADA sebab mengapa Negeri Sabah tidak boleh melibatkan diri dalam perdagangan kredit carbon atau carbon credit trading.

Hakikatnya, perdagangan karbon boleh menjamin pengekalan dan pemuliharaan hutan di Sabah, kerana menjual karbon tidak melibatkan pemusnahan atau kemusnahan hutan belantara. 

Perdagangan karbon hanya memperdagang atau menjual karbon yang tersimpan dalam tumbuh-tumbuhan dan pokok. 

Sekiranya ada negara membeli karbon dari Sabah atau dimana-mana negara yang lain, maka negara pembeli itu berhak memanfaat atau membakar karbon tersebut.

Justeru, sekiranya Sabah ingin menjual karbon, bermakna Sabah akan melepaskan hak untuk membakarnya. 

Menurut satu kajian, pokok yang lebih tua mempunyai potensi lebih besar untuk menyimpan karbon dan melambatkan perubahan iklim (climate change).

Selain sebagai penyerapan karbon (carbon sequestration), tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok juga berfungsi sebagai takungan karbon (carbon sink or carbon reservoir) dan sumber karbon (carbon source).

Perdagangan karbon berasal atau bermula dari Protokol Kyoto, sebuah perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menetapkan tujuan pengurangan pelepasan karbon global dan mitigasi perubahan iklum mulai tahun 2005.

Sekiranya rancangan Sabah menjual karbon menjadi kenyataan, maka karbon yang tersimpan di dalam  kawasan hutan terlindung (Totally Protected Areas) di negeri itu seluas hampir dua juta hektar bakal menjana sumber pendapatan bagi Sabah.

Sebahagian daripada hasil pendapatan itu kelak boleh digunakan bagi menjalankan kerja-kerja penjagaan dan pengurusan kawasan tersebut. 

Namun, bagi kebanyakan orang, perdagangan karbon bukanlah suatu perkara yang mudah difahami. 

Urusan niaga karbon sangat kompleks sebenarnya kerana ia melibatkan isu-isu ekologi, sosial, ekonomi, perundangan dan keinstitusian.

Susulan Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi (Nature Conservation Agreement -NCA) yang ditanda tangani Kerajaan Negeri Sabah pada Oktober 2021, sekumpulan 11 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah telah memberi amaran bahawa ‘isu-isu teknikal’ berkenaan perjanjian tersebut perlu ditangani bagi memastikan Negeri Sabah boleh memasarkan karbonnya pada pasaran premium. 

Dengan erti kata lain, kumpulan NGO itu sebenarnya tidak membantah hasrat Sabah melibatkan diri dalam perdagangan karbon, cuma menasihatkan pihak-pihak yang terlibat supaya urus-niaga karbon itu dilakukan dengan betul.

Sama ada penglibatan Sabah dalam perdagangan karbon itu menjadi kenyataan atau tidak, mungkin tidaklah begitu mendesak buat masa ini.
Pada saya, langkah Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor,  memberi keutamaan terhadap kelestarian hijau seperti yang dinyatakan dalam  dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah lebih signifikan. 

Komitmen Kerajaan GRS itu, yang turut menyokong Pelan Tindakan Hutan 2021-2026 sebagai panduan mentransformasikan ladang hutan, memberi harapan realistik serta jaminan kepada usaha pemuliharaan hutan Sabah. 

Dalam isu penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, kita sebenarnya bercakap soal tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi, iaitu tanggungjawab menjaga kelestarian alam.

Sesungguhnya, kejadian bencana alam yang semakin kerap berlaku di Sabah sepatutnya  memberi pengajaran kepada rakyat negeri itu tentang penting menjaga dan memulihara alam sekitarn. 

Kemusnahan hutan, umpamanya,  menyebabkan banyak sungai semula jadi tercemar atau mati dan tidak lagi menyediakan perkhidmatan untuk keperluan manusia. 

Kita juga bercakap tentang konflik antara manusia dan hidupan liar. Konflik itu berlaku kerana hutan rimba atau habitat hidupan liar semakin mengecil, menyebabkan spesis hidupan liar seperti gajah pygmy Borneo mati dibunuh dan ditembak kerana menceroboh kawasan ladang dan penempatan manusia.  

Mungkin suatu hari kelak akan terdetik dalam hati kita untuk memikirkan bahawa bumi mungkin sudah putus asa dan hilang keyakinan terhadap kebertanggungjawaban manusia sebagai khalifah di bumi, sama seperti lapisan ozon yang dikatakan semakin menipis zaman kini. 

Kesimpulannya, memberi keutamaan kepada penjagaan dan pemuliharaan hutan tidak mungkin akan merugikan manusia sampai bila-bilapun.  

Justeru, hutan semula jadi, dan dalam hubungan ini kawasan hutan simpan kawalan dan hutan simpan terlindung (Totally Protected Areas) sebenarnya merupakan aset paling penting bagi negeri Sabah khususnya dan Malaysia amnya. 

Penjagaan dan pemuliharaan khazanah alam semula jadi itu sudah tentu dapat memberi kekuatan kepada Sabah untuk melibatkan diri dalam perdagangan karbon. 

*Emin Madi Penulis adalah wartawan veteran Sabah.

Exit mobile version