Site icon Sabah Baru News

Pengusaha TASKA wajib pasang CCTV- James

KOTA KINABALU: Pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Sabah diwajibkan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk james Ratib, mereka perlu berbuat demikian sebelum memperbaharui lesen operasi TASKA.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan ibu bapa terus boleh meletakkan kepercayaan kepada TASKA untuk menjaga anak mereka dengan selamat serta tidak diragui.

“Saya amat kesal dengan kejadian baru-baru ini dan apabila kita meneliti syarikat ini ada dua lesen iaitu mengendalikan TASKA dan juga Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA). Selaku menteri bertanggungjawab di Sabah, saya melihat perkara ini secara serius.

“Jadi saya minta terutama sekali kepada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, supaya membuat satu garis panduan terutama dalam pengambilan pengasuh dimana saya mahu mereka yang diambil ini benar-benar menyayangi kanak-kanak sebab kita tidak mahu ia terus berlaku,” katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

James berkata, pihaknya juga tidak mahu ibu bapa yang menghantar anak ke TASKA atau TADIKA hilang kepercayaan disebabkan perkara-perkara sedemikian.

Katanya, semua pengendali TASKA di Sabah khususnya dibawah kendalian kementeriannya akan dipanggil untuk diberi nasihat bagi memastikan perkara itu tidak lagi berulang.

Beliau juga mencadangkan agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di TASKA dan TADIKA ditubuhkan bagi memastikan keselamatan anak-anak terjaga.

Katanya, sehingga kini terdapat lebih kurang 300 TASKA di seluruh Sabah, dimana TASKA ini ada yang bernaung dibawah JPKA, Jabatan Perpaduan dan beberapa agensi kerjajaan lain di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Jumlah ini tidak termasuk swasta, swasta bukan kendalian kita namun pihak kita yang keluarkan lesen pengoperasian,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version