Site icon Sabah Baru News

Tindakan berat sentiasa menanti pemburu haram

dav

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sekali lagi mengulangi pendirian bahawa tindakan berat akan dikenakan kepada pemburu haram dalam usaha memelihara haiwan dalam kategori dilindungi sepenuhnya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, untuk kategori berkenaan, masyarakat juga dilarang sama sekali untuk menangkap bagi tujuan memelihara.

“Oleh itu, kerajaan memuji usaha Bask Bear Coffee yang melancarkan kempen baharu untuk mengambil beruang madu kedua sebagai haiwan angkat.

“Kempen ini menjemput rakyat Malaysia untuk menyertai dengan mengimbas kod DuitNow di cawangan Bask Bear Coffee yang terdapat di seluruh Sabah, seterusnya memberikan sumbangan secara terus kepada Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sandakan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Bask Bear Coffee Cawangan Aeropod di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha melindungi haiwan dalam kategori dilindungi sepenuhnya mampu melonjakkan nama Sabah di peringkat antarabangsa, sekali gus menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan pelan tindakan seterusnya bagi melindungi haiwan-haiwan terancam di Sabah.

Joniston berkata, jumlah populasi beruang madu liar dianggarkan sebanyak 2,500 dan BSBCC melindungi 42 beruang madu, yang mana kebanyakan telah diselamatkan oleh pihak penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar Sabah daripada pemburu haram atau pemilik haiwan peliharaan yang tidak berdaftar.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd Bryan Loo berkata, pihaknya kini mempunyai 96 premis di seluruh Malaysia.

“Kami juga mempunyai lapan premis di Malaysia Timur dan kita mempunyai sasaran tahunan untuk membuka 100 premis.

“Untuk tahun depan, kita yakin boleh capai sejumlah 200 premis di seluruh Malaysia,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Roland O. Niun serta tetamu kehormat yang lain.

— Yap Siong Han

Exit mobile version