Site icon Sabah Baru News

Pemimpin WARISAN diminta tidak putar belit fakta ekonomi Sabah

TAWAU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan meminta pemimpin Parti Warisan (WARISAN) tidak memutar belitkan fakta mengenai ekonomi negeri ketika ini.

Nizam berkata, ekonomi Sabah dibawah pemerintahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada landasan yang betul dan semakin pulih.

“Semasa kita mengambil alih tampuk kepimpinan negeri daripada WARISAN, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah berada pada tahan negatif sembilan.

“Namun, kini KDNK Sabah terus meningkat iaitu tahun lalu mencecah 3.7 peratus dan ia semakin positif pada tahun ini,” katanya ketika ditemui media, di sini, semalam.

Katanya, WARISAN perlu menerima hakikat bahawa mereka gagal memulihkan ekonomi negeri semasa memerintah Sabah sebelum ini.

“Mereka cuba membuta mata dan hati untuk menilai prestasi kerajaan negeri sekarang, malah kerap mengeluarkan kenyataan yang tidak betul berkenaan ekonomi Sabah.

“Saya meminta supaya pemimpin WARISAN berhenti memutar belitkan fakta untuk mendapatkan sokongan rakyat kerana sudah jelas keadaan ekonomi sekarang lebih baik daripada dahulu,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, GRS mempunyai hala tuju untuk membangunkan negeri Sabah.

Menurutnya, Sabah kini semakin popular dalam kalangan pelabur luar dan berusaha mewujudkan lebih banyak industri hiliran bersama usahawan tempatan.

“Namun, industri hiliran ini memerlukan masa kerana ia perlu dilaksanakan mengikut prosedur yang betul, bukannya seperti tanam jagung, tiga bulan boleh terima hasilnya.

“Jika kita lihat pelabur asing yang datang ke Sabah memberi impak yang baik dan positif kepada rakyat terutamanya usahawan di negeri ini,” katanya.

Nizam mengharapkan rakyat di negeri ini memberi kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan negeri untuk membangunan Sabah ke arah yang lebih baik.

“Kita sudah mempunyai kestabilan politik di bawah pemerintahan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan diharapkan ekonomi Sabah juga semakin berkembang baik selepas ini,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version