Site icon Sabah Baru News

Projek utama Pelan Pembangunan Kadamaian giat dilaksana

KOTA BELUD: Projek-projek utama dalam Pelan Pembangunan Kadamaian sedang dilaksanakan termasuk naik taraf jalan-jalan utama di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, antara jalan utama dalam pelaksanaan sekarang adalah naik taraf Jalan Tengkurus-Lahanas dan Jalan Sayap-Mansulit.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini berkata, kerja-kerja naik taraf Jalan Sayap dimulakan sejak April lepas dan dijangka siap pada April 2026.

“Antara jalan utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang diluluskan dan akan dilaksanakan ialah naik taraf Jalan Podos dan Jalan Kaung.

“Ini antara jalan-jalan utama di Kadamaian yang perlu dinaik taraf kerana populasi pengguna yang besar dan menjadi laluan utama menghubungkan sekolah-sekolah serta pemangkin kepada kemajuan sektor pelancongan luar bandar di Kadamaian.

“Banyak lagi jalan yang perlu dinaik taraf dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 dan pelaksanaan penggal kedua dalam RMK12,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan DUN Kadamaian di Kampung Piasau di sini hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya akan terus berusaha mendapatkan peruntukan dan mendesak supaya projek-projek itu dimasukkan dalam rancangan pembangunan Sabah untuk manfaat rakyat Kadamaian.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, selain naik taraf jalan, isu-isu pemilikan tanah, pembasmian kemiskinan, kebajikan dan pembangunan sekolah terus diberi perhatian.

“Saya mahu lebih banyak kampung di kawasan Kadamaian dapat dimasukkan dalam Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) di Kadamaian, antaranya Kampung Lobong-Lobong, Kaung, Tombotuon, Sayap, Melangkap, Gensurai, dan Lasau,” katanya.

Dari segi pembangunan sekolah beliau berkata, jalan menuju Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung diluluskan dalam belanjawan tambahan baru-baru ini di bawah biayaan kerajaan negeri.

Selain itu katanya, melalui agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) peruntukan diberikan kepada semua sekolah menengah dan sekolah rendah kawasan DUN Kadamaian di bawah program Yayasan Bank Rakyat.

Ewon berharap, dua Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan semua pengerusi JKKK DUN Kadamaian dapat membantunya mengenal pasti penerima-penerima bantuan kebajikan termasuk pembaikpulihan dan pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memudahkan penyaluran bantuan.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version