Site icon Sabah Baru News

Ahmad Zahid enggan berundur, anggap kekalahan BN adalah tanggungjawab bersama kepimpinan UMNO

KUALA LUMPUR : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui sedar terhadap desakan pelbagai pihak yang mahu beliau berundur susulan keputusan buruk diperolehi BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.

Beliau yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bertanggungjawab atas kekalahan UMNO khususnya di banyak kerusi yang ditandingi mereka.

“Walaupun saya bertanggungjawab ke atas keputusan pilihan raya, seperti yang ditegaskan (Datuk Seri Johari Abdul Ghani), ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kepimpinan UMNO,” katanya memetik laporan sebuah portal berita hari ini.

Beliau berkata, desakan memintanya berundur bukan pertama kali dihadapi Presiden UMNO, malah situasi sama pernah dilalui Datuk Seri Najib Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya sedar akan gesaan itu (berundur). Apa yang saya boleh berikrar ialah saya, dengan bantuan kepimpinan parti, akan melakukan lebih lagi untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat.”

“Ini bukan kali pertama Presiden UMNO didesak berundur. Ia pernah berlaku sebelum ini, termasuk kepada Pak Lah (Tun Abdullah) dan juga kepada Datuk Seri Najib, apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kami,” katanya.

Justeru kata beliau, UMNO dan BN akan meneliti pendekatan dan strategi selepas ini untuk kembali bangkit termasuk mengguna pakai kaedah baru untuk memenangi hati pengundi.

“Kita akan meneliti pendekatan dan strategi. Kita akan menerima pakai yang baharu, supaya kami boleh memenangi hati dan fikiran pengundi sekali lagi,” katanya dipetik dari laporan itu.

Katanya, UMNO juga perlu menangani kekeliruan dalam kalangan ahli UMNO sendiri berhubung keputusan parti untuk bekerjasama dengan DAP di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Kami melakukan beberapa sesi untuk menjelaskan perkara ini di peringkat bahagian. Mungkin, mesej itu tidak sampai ke akar umbi atau mungkin perlu dijelaskan lagi di peringkat itu,” katanya.

BN khususnya UMNO mengalami kekalahan teruk pada PRN lalu apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi mereka.

Tertera jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi UMNO dalam PRN pada Sabtu lalu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 :

TAMAT

Exit mobile version