Site icon Sabah Baru News

Ruddy, Rubin turut nafi akan keluar GRS 

KOTA KINABALU: Dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu Datuk Ruddy Awah (Pitas) dan Datuk Rubin Balang (Kemabong) turut menafikan mereka akan keluar GRS.

Memetik Utusan Malaysia, Ruddy, yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, beliau masih teguh bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan GRS.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya. Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tetap bersama GRS, BERSATU bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Malah saya ada di kawasan hadir pada program GRS di Kota Marudu dan Matunggong,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kehadiran beliau dalam Program Jelajah GRS di Kota Marudu semalam turut mengukuhkan kenyataannya bahawa perjuangan politiknya kekal bersama GRS.

Sementara itu, Rubin dalam kenyataan ringkasnya turut menafikan mereka pernah berbincang tentang soal keluar GRS. 

“Tidak pernah bincang soal keluar GRS. Yang kami bincang soal pengagihan kerusi. 

“Buat masa ini tiada timbul soal keluar GRS sebab kami masih berada dalam GRS dan menyokong Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri…berita pasal keluar GRS itu adalah palsu,” jelas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) itu.

Terdahulu, Masiung selaku ADUN Bebas yang mesra kepada Kerajaan GRS turut menafikan bahawa beliau kini menyokong Warisan.

ADUN Mesra GRS, Datuk Masiung Banah

“Saya tetap berpendirian teguh dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS.

“Secara logiknya, macam mana saya keluar GRS sedangkan, saya masih ADUN Bebas yang tidak menyertai mana-mana parti. Saya cuma wakil rakyat yang mesra kepada GRS,” katanya.

Nama Ruddy, Rubin dan Masiung antara empat ADUN GRS dikatakan keluar parti selain Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan).

Masiung, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, isu keluar parti itu sengaja ditularkan bagi menggugat sokongan rakyat kepada Kerajaan GRS menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Isu mengenai empat ADUN GRS itu tular dalam media sosial selepas ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan BERSATU bagi menyertai Warisan kerana mahu bertanding sebagai calon di Kota Marudu pada PRU15.

ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan BERSATU bagi menyertai Warisan 

Pada masa ini, komposisi kerusi DUN Sabah masih lagi memberi kelebihan kepada kerajaan GRS-Barisan Nasional dengan 52 kerusi termasuk ADUN dilantik manakala, blok pembangkang pula memilik 27 kerusi.

EDITOR

Exit mobile version