Site icon Sabah Baru News

Api-Api Night Food Market akan diadakan setiap malam

KOTA KINABALU: Peniagaan Api-Api Night Food Market di Jalan Gaya bakal diadakan setiap hari pada waktu malam bagi menampung kehadiran pengunjung tempatan serta pelancong antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, beliau akan berbincang perkara itu dengan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Kini, kita dapat melihat semakin ramai pelancong asing datang ke Sabah, usaha sedemikian adalah salah satu daya tarikan kepada pelancong untuk melawat Sabah khususnya bandaraya ini.

“Langkah ini turut akan memberikan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk masing-masing, sekali gus memangkin pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika menerima Kunjungan Hormat daripada Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) di sini, semalam.

Beliau juga memberikan jaminan pembahagian gerai Perniagaan Api-Api Night Food Market akan dibahagikan sama rata diantara semua kaum.

Katanya, tujuan itu akan membolehkan peluang perniagaan dinikmati sama rata oleh semua pihak tanpa dimonopoli oleh satu kumpulan sahaja. 

Peniagaan Api-Api Night Food Market diilhamkan oleh Christina dan ia dilancarkan pada Disember 2018. Kawasan berkenaan sangat digemari pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa.

Kini, usaha dilakukan untuk mengadakan persembahan kebudayaan bagi memeriahkan lagi suasana pasar malam berkenaan.

Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, tinjauan yang dilakukan beliau baru-baru ini mendapati pengunjung serta peniaga tempatan sangat menghargai kewujudan perniagaan itu pada sebelah malam.

Beliau juga menjelaskan kementeriannya juga akan giat mempromosikan produk-produk tempatan di Api-Api Night Food Market seperti, Sabah Tea, arak buatan tempatan, tongkat ali dan banyak lagi.

Pada minggu lalu, Christina telah mengumumkan bahawa pasar berkenaan akan diluaskan sehingga kawasan sempadan Blok C Jalan Gaya. Usaha itu sekali gus akan melihat penambahan kepada 95 gerai berbanding kini hanya 50 gerai sahaja.

Dalam pada itu, Christina berkata, media memainkan peranan penting bagi menghubungkan kerajaan dengan rakyat bagi menyampaikan maklumat sahih serta dasar.

Katanya, adalah penting untuk menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat dan tugas wartawan adalah bergerak seiring dengan perkembangan semasa memainkan peranan melaporkan berita secara ‘real time’.

“Kini dalam era dunia digital, wartawan arus perdana memainkan peranan penting bagi menyampaikan maklumat secara pantas dan tepat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau juga kagum dengan dedikasi serta komitmen yang ditunjukkan oleh pengamal media yang sentiasa bertugas tanpa mengira keadaan cuaca.

Sementara itu, Pengerusi KKJA Jimmy Goh berkata, kunjungan dilakukan bagi menjemput Christina hadir pada Malam Media KKJA 2023 pada 31 Ogos ini yang diadakan di Dewan Hakka di sini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Christina yang sentiasa menyokong aktiviti yang dianjurkan KKJA.

“Beliau sentiasa mengambil perhatian terhadap kebajikan wartawan dan bersimpati terhadap segala kesukaran serta cabaran yang dihadapi para pengamal media di sini pada ketika ini,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version