Site icon Sabah Baru News

Konsert Sheila Majid Big Band Live in Kota Kinabalu ubat rindu peminat

KOTA KINABALU: Penyanyi jolokan Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid mengubat kerinduan peminat selepas kejayaan Konsert Sheila Majid Big Band Live in Kota Kinabalu.

Pengarah Urusan Firm Horizon Sdn. Bhd,  Raymond Fang berkata konsert selama dua jam itu berlangsung gemilang dengan kemeriahan  sekitar 2500 peminat yang membanjiri Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) seawal jam 6 petang.

Katanya konsert yang mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah dibawakan ke Kota Kinabalu demi memberikan pengalaman berharga buat peminat penyanyi legenda itu yang terlepas menyaksikan Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur 18 Mac lalu.

“Konsert dengan konsep sama terdahulu pernah dilaksanakan di Kuala Lumpur dan disebabkan sambutan yang memberangsangkan membuatkan Firm Horizons selaku penganjur terpanggil untuk membawakan konsert hebat ini ke Kota Kinabalu, Sabah.

“Sebahagian daripada hasil jualan tiket konsert ini turut disumbangkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah (KYJ) untuk menyokong usaha membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya selepas mengambil kira faktor dan jumlah peminat yang ramai, Firm Horizon Sdn. Bhd. berbesar hati membawakan konsert ini secara eksklusif kepada peminat di Borneo terutamanya Kota Kinabalu.

Sementara itu wakil dari Al Activators selaku penganjur bersama, Aaron semasa ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, sebelum konsert berlangsung berkata konsert ini memberi pengalaman muzik yang mengasyikkan dengan penampilan Sheila Majid bersama 17 pemuzik pimpinan pengarah muzik Mac Chew.

Penyanyi kesayangan Malaysia, Sheila Majid mempersembahkan 20 buah lagu termasuk lagu hit yang diminati rakyat Malaysia seperti Pengemis Muda, Lagenda, Ku Mohon, Aku Cinta Padamu dan Sinaran.

Hadir mempesona dengan dua busana, celoteh Sheila di atas pentas sering dinanti-nantikan oleh peminat selain kelunakan suaranya. 

Diringi para pemuzik hebat, konsert ini dikendalikan oleh Jennifer Thompson selaku Pengarah Konsert.

“Saya benar-benar gembira melihat kehadiran semua, ‘full house’ dan menerima sokongan daripada rakyat Sabah, Kuala Lumpur, Brunei. 

“Setiap individu berkumpul dan muzik menyatukan hati,” kata Sheila semasa mengalu-alukan kehadiran penonton konsert terutama Juhar dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sheila Majid turut mendendangkan lagu Wira Hatiku sebagai penghargaan buat barisan hadapan yang berjuang selama dua tahun membantu sewaktu pandemik.

Sheila atau nama sebenar, Shaheila Abdul Majid, 57, turut mendedikasikan sebuah segmen dengan lagu-lagu medley Tan Sri P. Ramlee iaitu Aduh Sayang, Getaran Jiwa, Bunyi Gitar, Tiru Macam Saya, Manusia sebagai  tanda peringatan terhadap lagenda gergasi tanah air kita yang membentuk landskap muzik negara.

Malam itu juga menyoroti lagenda Malaysia, Jimmy Boyle iaitu seorang komposer prolifik dan pemain piano jazz yang berasal dari Pulau Pinang.

Ensembel virtuoso untuk konsert Sabtu lalu menampilkan Jenny Chin, Hanson Lee, Steve Thornton, Muhammad Khairul Aiman Mohd Radz, Ahmad Zapuwan Ismail Puasa, dan John Ashley Thomas dalam arahan Mac Chew.

Pasukan saksofon dikendalikan oleh Then Wan Ying, Chan Ching Shung, dan Kevin Choo, manakala bahagian trumpet dibarisi oleh Mohamad Firdaus Zainal, Wen Keng Foong, Chee Chow Ming, dan Ainul Basyirah binti Aznan.

Vokalis latar, Izzad Izzuddin Borhan, Norakmal Kamarulzaman, dan Widyzalilawati Hamzah Baswan turut mengiringi Sheila sepanjang persembahan.

Konsert ini memberikan kenangan yang cukup manis bukan sahaja buat peminat tetapi pastinya buat Sheila Majid sendiri.

— Vivi Olviana Najurus

Exit mobile version