Site icon Sabah Baru News

Kerajaan sediakan peruntukan besar pastikan rakyat sabah dapat pendidikan sempurna – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan bajet yang besar bagi memastikan rakyat Sabah mendapat pendidikan yang sempurna, kata Ketua Menteri,Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, antara peruntukan itu ialah sebanyak RM12 juta untuk membantu 1,600 sekolah di Sabah melalui program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH).


Beliau berkata, sebanyak RM4 juta diperuntukan bagi Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) yang diperkenalkan tahun ini untuk membantu membaiki kerosakan dan menyelenggara yang melibatkan kos dibawah RM50,000 serta ke bawah.


Menurutnya, bagi memperkasa Pendidikan STEM di negeri Sabah, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM250,000.00 bagi Program STEM FIESTA dan pembinaan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (Pusat STI) di Perpustakaan Keningau dengan kos sebanyak RM3.0 juta dan dijangka siap pada penghujung 2023.


“Di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Kerajaan juga merancang melaksanakan projek berimpak tinggi iaitu pembinaan Pusat Sains Sabah di Kota Kinabalu. Manakala pembinaan Pusat STI di Tawau dan Sandakan bernilai lebih
daripada RM10.2 juta daripada PETRONAS”, katanya pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Tahun 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Grand Ballroom Magellan Sutera Hotel pada Khamis.


Hajiji berkata, Kerajaan melalui KSTI juga memberikan dana sebanyak RM 320,000.00 untuk pewujudan 16 buah sudut sains di sekolah rendah, termasuklah memberi sumbangan bagi membaikpulih 14 Makmal Sains sekolah Menengah pada tahun ini
dengan peruntukan sebanyak RM280,000.00.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga meneruskan pelaksanaan beberapa program bantuan pendidikan pada tahun ini seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan PIBG (BAGUS), Bantuan Tunai
Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) yang terbukti memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan miskin dan B40.

— TAMAT

Exit mobile version