Site icon Sabah Baru News

GRS akan bersama PH hadapi PRN Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bersama Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, cadangan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee untuk GRS bertanding di semua 73 Kerusi disifatkan sebagai pandangan peribadi.

Katanya, GRS tidak boleh berpisah dengan rakan dalam Kerajaan Perpaduan termasuk PH dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi PRN akan datang.

Menurutnya, isu berkaitan pembahagian Kerusi untuk PRN juga belum dibincangkan memandangkan masih ada tempoh dua tahun lagi untuk Sabah menjalankan pilihan raya.

“Sekarang kita fokus untuk bangunkan negeri dan bantu rakyat, selesaikan masalah air serta elektrik kerana ini yang jadi tumpuan utama kita.

“Tetapi saya ingin tegaskan dan nyatakan bahawa kerajaan negeri diterajui GRS dan juga PH. Justeru, kita perlu melihat perkara ini dan amat berterima kasih kepada PH.

“Bagi saya, ini adalah satu isu yang perlu kita bincangkan secara mendalam,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2023 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di sini hari ini.

Hajiji turut mengingatkan para pemimpin supaya tidak terlampau berpolitik sana sini dan lebih fokus untuk membangunkan Sabah serta rakyat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu Ambalat, beliau menegaskan andaian dan tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku Assaffal Alian sebagai tidak berasas.

Menurutnya, isu berkait Ambalat belum diputuskan dan masih dalam peringkat perbincangan sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Kita akan lihat apa tindakan yang perlu diambil sekiranya apa yang dinyatakan oleh wakil rakyat Tungku itu adalah sesuatu yang tidak betul.

“Kita tidak boleh mengelirukan rakyat negeri ini kerana ia adalah perkara yang sensitif,” jelasnya.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini, Assaffal mendakwa kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak kerajaan negeri untuk menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.

Assaffal dipetik berkata, keputusan itu disifatkan sebagai satu kesilapan yang dilakukan kerajaan negeri kerana tidak memperhalusi isu terbabit sehingga merugikan Sabah.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version