Site icon Sabah Baru News

Lebih 4,000 penduduk hadir Jelajah Prihatin, cubaan musuh politik sabotaj gagal

TASEK GELUGOR – Lebih 4,000 penduduk hadir mendengar amanat para pemimpin Perikatan Nasional (PN) dalam Jelajah Prihatin Parlimen Tasek Gelugor, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), walaupun berdepan cubaan sabotaj dari musuh politik.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata musuh politik PN amat takut dengan program-program PN dan cuba menyekat dengan pelbagai cara, termasuklah cuba menggunakan pihak berkuasa.

“Jelas sekali ada sokongan yang tinggi kepada Perikatan Nasional di Tasek Gelugor. Terima kasih warga Tasek Gelugor!

“Alhamdulillah hasil usaha Abang Azmi Alang selaku Pengarah program dan Ketua Bahagian, dan bantuan rakan-rakan dari PN, kita dapat selesaikan dan hadapi percubaan sabotaj itu.

“Percubaan sabotaj itu membuktikan mereka kehabisan modal untuk menyekat kemaraan PN. Kita telah tunjukkan kepada rakyat bahawa di bawah Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin benar-benar memberi fokus kepada kebajikan rakyat.

“Semua lapisan rakyat dapat bantuan. Kita utamakan rakyat, bukan mahu menyelamatkan diri sendiri sahaja,” katanya yang hadir di majlis itu kepada Penerangan BERSATU pada Ahad.

Jelajah Prihatin Parlimen Tasek Gelugor disempurnakan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama, Ketua Bahagian BERSATU Tasek Gelugor, Azmi Alang; Presiden GERAKAN Senator Datuk Dr Dominic Lau; dan Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Mohd Sobri Saleh.

Menyentuh mengenai calon PRU15 di parlimen ini, Wan Saiful berkata tidak kira calon yang diletakkan di Tasek Gelugor, wakil rakyat PN itu akan memastikan kebajikan rakyat.

“Saya yakin, dengan Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, tak kira siapa calon yang diletakkan Tasek Gelugor, wakil rakyat PN itu akan memastikan kebajikan rakyat.

“Saya tahu di Tasek Gelugor ramai pesawah. Masalah kenaikan harga baja dan racun hingga hari ini belum selesai.

“Di sebelah Bagan Ajam, komuniti nelayan menghadapi cabaran akibat pembangunan yang boleh merosakkan ekologi laut,” katanya.

Katanya, golongan muda di Tasek Gelugor di mana ramai yang bekerja di sebelah pulau, atau di zon zon industri di sekeliling Tasek Gelugor masih berdepan dengan pengangkutan awam yang tidak cekap.

“Pengangkutan awam kekal jadi masalah yang belum selesai hingga hari ini. Nak beli kereta, gaji pula tak cukup.

“Ini semua memerlukan kerajaan yang prihatin, kerajaan yang cekap, dan kerajaan yang bersih untuk selesaikan, dan pastikan fokus kita ialah rakyat. Bukan fokus kepada individu yang tergila-gilakan jawatan Perdana Menteri, dan bukan fokus kepada lari dari kes mahkamah.

“Hakikatnya, walaupun kita mungkin bertanding banyak penjuru, tapi sebenarnya pilihan yang baik, pilihan yang berintegriti, sebenarnya tidak banyak. Ada satu saja pilihan yang bersih dan ikhlas, iaitu PN. Pengundi perlu buat pilihan yang baik dan pilih PN,” katanya.

Berita Bersatu

Exit mobile version