Site icon Sabah Baru News

Kerajaan Persekutuan diminta ambil berat isu atlet di Sabah: Norazlina

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta supaya mengambil berat isu peruntukkan penyertaan wakil-wakil atlet dari Sabah yang mempunyai kelayakan bertanding di persada sukan negeri dan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlina Arif berkata, masih terdapat isu atlet yang gagal menyertai kejohanan disebabkan tidak mempunyai sokongan dana atau sumbangan yang sepatutnya diterima.

Katanya, baru-baru ini tular di media sosial menyatakan pasukan bola sepak terdiri pelajar sekolah dari Keningau gagal menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) disebabkan tidak mempunyai dana.

“Isu ini sepatutnya menjadi perhatian dan diambil berat oleh pihak kerjaaan Persekutuan terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kerajaan Persekutuan menerusi KPM perlu peka dengan isu-isu seperti ini dan saya sebagai rakyat Sabah berasa perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, pihak kerajaan perlu sedar bahawa Sabah mempunyai demografi yang luas dan sudah tentu memerlukan suntikan kewangan seperti logistik, tempat tinggal atlet, walaupun kejohanan itu melibatkan lokasi di negeri ini.

“Alhamdulillah, kontinjen Kunak yang bertanding di peringkat MSSM negeri, kita dapat memberikan sedikit sumbangan kepada atlet untuk bertanding.

“Saya mohon KPM sedar supaya tunaikan hak pelajar di Sabah atau turunkan sahaja autonomi kepada kerajaan negeri untuk mengatur sendiri,” katanya.

Hamzah Sanudin

Exit mobile version