Site icon Sabah Baru News

RM9.7 juta naik taraf KAFA – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM 9.7 juta bagi menaik taraf dan menyelenggara bangunan-bangunan Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA) yang daif di Sabah pada tahun 2022.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berharap berharap peruntukan yang lebih besar untuk tujuan itu dapat diteruskan tahun ini.

“Kita doakan agar kelas yang telah dibaik pulih dapat dimanfaatkan sebaiknya agar proses pembelajaran KAFA semakin efektif dan lebih selesa.

“Bagi menghargai usaha dan bakti guru-guru KAFA dalam mendukung hasrat kerajaan untuk pemerkasaan Modal Insan di Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah meluluskan pemberian elaun tambahan sebanyak RM100.00 kepada setiap guru KAFA di Sabah berkuatkuasa 1 Jun 2023.

“Semoga dengan bantuan itu dapat meringankan beban ekonomi guru-guru KAFA dan menaikkan semangat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.

Hajiji berkata, kerajaan negeri komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan umat Islam di Malaysia bagi membentuk masyarakat Madani yang mengutamakan nilai ukhuwah serta insani yang merupakan tuntutan ad-Din yang syumul.

Menurutnya, bagi merealisasikan modal insan yang gemilang dalam kalangan anak-anak, pembentukan sahsiah unggul dalam diri setiap individu tanpa mengira keturunan dan bangsa, penting bagi memastikan kehidupan masyarakat sentiasa positif serta stabil dalam semua aspek terutama akhlak dan sahsiah individu.

Sehubungan itu katanya, kerajaan amat mengambil berat isu dan kemelut keruntuhan akhlak yang membimbangkan dalam kalangan remaja dan telah menggagaskan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan Pembangunan Modal Insan sebagai teras penting dalam pelan pembangunan Sabah.

“Ini seiring dengan matlamat pendidikan negara dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi inteklek, rohani, emosi, jasmani berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.

“Nilai modal insan inilah yang akan mencorakkan kepimpinan masa akan datang ke arah mencapai hasrat kerajaan melalui Hala Tuju SMJ. 

“Tanpa adanya generasi yang berkualiti, sesebuah masyarakat bahkan negara akan lemah dan keterbelakang dalam arus perdana,” katanya.

Hajiji percaya dan berharap, melalui KAFA yang dilaksanakan oleh JAKIM dengan kerjasama MUIS, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dapat membangun modal insan di peringkat awal kanak-kanak.

“Ini kerana penyelesaian kepada keruntuhan akhlak masa kini adalah melalui pengisian pendidikan agama seawal kanak-kanak lagi dan kembali menghayati ajaran Islam yang sebenar, iaitu bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version