Site icon Sabah Baru News

Perkukuh perpaduan, elakkan perpecahan – Ghulam

PAPAR: Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diajak untuk memperkukuh kesatuan dan mengelak amalan berpuak-puak, bagi memastikan parti terus menunjangi pemerintahan kerajaan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, berkata kesatuan dan perpaduan penting bagi menangkis sebarang cubaan anasir luar memecahbelahkan parti.

“Kita harus bekerja sebagai satu pasukan yang jitu, dan bukan berpuak dalam kumpulan, supaya kita dapat menolak segala anasir yang cuba memecahbelahkan kesatuan kita.

“Seperti kata pepatah yang mengatakan, kita hendaklah bersatu dalam perkara yang kita sepakati dan bermusyawarah dalam perkara yang kita selisihi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Cawangan Gagasan Rakyat Bahagian Kawang, di sini semalam.

SEMANGAT: Sebahagian ketua cawangan Gagasan Rakyat mengambil kesempatan bergambar dengan Ghulam selepas perasmian mesyuarat.

Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah juga meminta supaya gerak kerja dalam parti terus diperkukuh bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, walaupun kerajaan negeri hari ini masih ada lebih dua tahun memerintah, namun jentera parti khususnya Gagasan Rakyat tidak boleh leka dan lalai.

“Kita kena terus bekerja, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen besar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan elak perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan sesama kita,” katanya.

SYABAS: Ghulam menyampaikan watikah pelantikan kepada Kusin Hj Diasin, salah seorang ketua cawangan Gagasan Rakyat di Bahagian Kawang.

Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya mengambil iktibar daripada beberapa peristiwa politik di Sabah awal tahun ini,.

“Kita mesti perkukuhkan jati diri dan semangat lokal kita. Jangan kita tersilap sehingga berpecah belah.

“Sabah ini negeri kita, ini rumah kita. Kita jaga rumah ini bersama-sama. Kepentingan rakyat sentiasa didahulukan. Inilah perjuangan Gagasan Rakyat dan GRS,” katanya.

Beliau berkaya Gagasan Rakyat ditubuh berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi di mana rata-rata rakyat Sabah mahukan parti tempatan bersifat lokal, untuk menerajui kerajaan negeri. 

“Kita berada di sini adalah sebagai memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat terbanyak.

“Mari kita suburkan semangat juang, mantapkan jentera parti, demi memastikan  Gagasan Rakyat terus releven untuk rakyat  negeri Sabah,” katanya.

TAHNIAH: Ghulam menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Gagasan Rakyat cawangan Rumah Pangsa Kinarut D, Desdemona Jawaji.

— TAMAT

Exit mobile version