Site icon Sabah Baru News

Amaran MOTAC dipandang serius: Christina

Christina, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, berkata pakatan GRS-PH sekarang dalam Kerajaan Negeri bekerjasama dengan baik dan ia amat penting bagi Sabah untuk kerjasama itu diteruskan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memandang serius amaran yang dikeluarkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing bahawa pihak kementerian menerusi agensinya akan mengeluarkan notis amaran kepada pelancong agar tidak berkunjung ke Semporna.

Amaran berkenaan diberikan sebagai tindakan terakhir sekiranya aduan yang diterima daripada pelancong tidak diambil peduli.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, aspek kebersihan awam, kesihatan dan keselamatan di bandar berkenaan adalah dibawah kuasa Majlis Daerah Semporna.

“Sementara Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan adalah dalam bidang kuasa Taman-Taman Sabah (agensi bernaung dibawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS)) akan sentiasa berada dalam keadaan bersih.

“Kita sedang mengambil langkah diperlukan mengenai hal ini, saya juga telah melaporkan perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang kemudian mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan segera.

“Pada Jumaat lalu, Majlis Daerah Semporna telah mengeluarkan laporan sebagai maklum balas terhadap isu yang dibangkitkan oleh Menteri di peringkat Persekutuan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Christina berkata, laporan itu menjelaskan mengenai situasi sebenar dan perlu diberikan perhatian sewajarnya supaya masalah yang diketengahkan oleh Menteri Persekutuan itu tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di Semporna secara keseluruhannya.
 
Menurut Tiong, pelancong membuat aduan mengenai keadaan persekitaran yang kotor (sampah sarap di merata tempat), kes keracunan makanan, serangan seranga liar dan perkhidmatan pelanggan yang teruk.

Tiong telah memohon MOTAC Sabah, KePKAS dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyerahkan cadangan dan pelan tindakan bagi menyelesaikan aduan terbabit dalam tempoh tiga hari.

Majlis Daerah Semporna menjelaskan isu yang dibangkitkan tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana kes keracunan makanan disifatkan sebagai kes terpencil.

Sebaliknya, terdapat maklum balas positif daripada pengunjung bahawa standard kebersihan di daerah itu telah meningkat berbanding masa lalu.

Majlis Daerah Semporna juga menegaskan bahawa sampah di persekitaran pantai di pulau-pulau berhampiran adalah disebabkan oleh pembuangan tidak bertanggungjawab oleh penduduk atas air.

Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan memberikan jaminan bahawa langkah drastik sedang dirangka untuk meningkatkan kekerapan kerja-kerja pembersihan di persisiran pantai.

Pada ketika ini, kerajaan sedang berusaha untuk memindahkan penduduk setinggan dengan tujuan mengurangkan risiko pembuangan sampah di lautan. Satu sesi perbincangan juga akan diadakan dengan penduduk-penduduk di pulau berhampiran Semporna dalam usaha mendidik mereka mengenai kepentingan menjaga kebersihan.
 
Berdasarkan laporan berkenaan, Majlis Daerah Semporna akan memperkasakan usaha membersihkan suasana premis perniagaan agar dapat mewujudkan suasana yang lebih kondusif kepada pelancong.

Satu notis pekeliling akan diedarkan kepada setiap pengusaha perniagaan agar mereka meningkatkan tahap kebersihan masing-masing.

Satu sesi dialog akan diadakan bersama para pemilik perniagaan pada Isnin ini yang melibatkan 200 sehingga 300 peserta.
 
Sehingga kini, Pegawai Kesihatan Daerah Semporna juga telah memeriksa sejumlah 397 premis makanan dan mengeluarkan notis kompaun atas pelbagai kesalahan kepada pengusaha.

–Yap Siong Han

Exit mobile version