Site icon Sabah Baru News

ROS diminta lakukan siasatan segera

KOTA KINABALU: Sebanyak 70 cawangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Negeri Sabah melakukan siasatan segera ke atas proses pemilihan bahagian berkenaan yang didapati wujudnya ketirisan.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Kapten Dr Zulfikar Zulkifli berkata, wujud penukaran cawangan ahli-ahli UMNO di sini secara haram tanpa kebenaran ahli.

“Ini sudah berlaku sekian lama sehingga menyebabkan ahli ini tidak dapat mengundi kerana tidak mengetahui di mana cawangannya.

“Ini merosakkan hak serta tanggungjawab ahli sehingga tidak dapat mengundi di cawangan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di pejabat ROS di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu sudah dilaporkan kepada pengetahuan kepimpinan UMNO negeri dan Pusat tetapi tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah itu.

Selain itu katanya, masalah yang turut dikenal pasti adalah jumlah perwakilan ditukar, dikurangkan atau dipindah.

“Contohnya, terdapat lima perwakilan yang sepatutnya dan sudah diputuskan, tetapi tiba-tiba dikurangkan kepada tiga sahaja.

“Siapa yang melakukan perkara ini, biar ROS menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, Zulfikar pernah membuat sidang media yang mendedahkan pihaknya menuntut supaya proses pemilihan bahagian itu bagi penggal 2023-2026 diadakan semula secara telus berlandaskan perlembagaan parti.

Ia berikutan proses pemilihan bahagian berkenaan didakwa diadakan secara tidak telus dan berlaku penyalahgunaan serta penyelewangan kuasa.

— Yap Siong Han

Exit mobile version