Site icon Sabah Baru News

Amalkan gaya hidup sihat sebagai persediaan melangkah ke alam warga emas : James

KOTA KINABALU: Golongan muda perlu mengamalkan gaya hidup sihat, berdisiplin dan berusaha mengukuhkan tahap kewangan masing-masing sebagai persediaan untuk melangkah ke alam warga emas di masa hadapan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, golongan muda jangan sesekali membuat keputusan yang salah sehingga menjejaskan suasana kehidupan yang tenang dan aman di masa hadapan.

“Warga emas pada ketika ini mempunyai peranan penting dalam hal ini kerana mereka boleh memberikan nasihat kepada golongan muda.

“Warga emas sudah melalui pelbagai cabaran hidup sehinggalah mereka berada disituasi pada hari ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Pertabalan Ahli Jawatankuasa 2023-2025 Persatuan Warga Emas Sabah (SASC), di sini hari ini.

Beliau menyeru, golongan warga emas juga perlu sentiasa menunjukkan gaya hidup sihat seterusnya membimbing golongan muda ke arah kecemerlangan hidup.

Ketika ditemui, James mahu jabatan kebajikan negeri ini untuk membina sebuah sekolah atau Pusat Autism untuk manfaat masyarakat bagi menghantar anak-anak mereka (mempunyai autism) ke sekolah berkenaan bagi mendapatkan pendidikan sewajarnya.

“Ini boleh dijadikan pilot projek kepada jabatan kebajikan negeri ini dan menggunakan dana negeri untuk membangunkan pusat berkenaan. Ia diharapkan dapat dimulakan pada hujung tahun ini.

“Saya akan membentangkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang,” katanya.

Sementara itu, Presiden SASC Robert Chang berkata, pihaknya akan memulakan pembangunan Pusat Penjagaan SASC di kawasan tanah seluas 10,000 kaki persegi yang telah dipohon.

Katanya, pusat itu nanti akan diuruskan oleh golongan pakar sekali gus akan memberikan manfaat kepada warga-warga emas ahli SASC serta bukan ahli yang berminat.

“Rekaan pusat itu nanti mampu memberikan kemudahan kepada sekurang-kurangnya 60 orang warga emas untuk meluangkan masa bersama persatuan ini,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version