Site icon Sabah Baru News

Kerajaan buat kajian sebab pelajar kurang minat subjek aliran sains – Arthur 

KOTA KINABALU: Kerajaan akan membuat kajian sebab utama pelajar kini kurang minat terhadap subjek aliran sains termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya ingin mengetahui sama ada pelajar-pelajar itu tidak mengetahui subjek berkenaan ataupun kurang menerima galakan daripada ibu bapa, guru-guru serta masyarakat secara keseluruhannya.

“Ramai masih tidak tahu tentang potensi kerjaya serta peluang pekerjaan dalam bidang STEM. Maka melalui usaha yang kita bawa…kita ingin menunjukkan sains adalah menarik.

“Penglibatan STEM dalam kalangan pelajar di Sabah amat rendah apabila hanya mencatat 27 peratus, ia sangat jauh dari sasaran. Saya risau kita akan ketinggalan kerana dunia serba canggih kini memerlukan STEM.

“Justeru itu, pihak kementerian melalui Akademi Sains Malaysia (ASM) telah melaksanakan kajian terhadap kurangnya minat pelajar kepada sains.  Antaranya ialah kurang galakan dari ibu bapa serta guru selain tidak memahami subjek ini yang dianggap susah dan potensi kerjaya kurang difahami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sembang Santai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama media di sini, semalam.

Beliau berkata, kawasan pedalaman sememangnya cabaran besar kepada kementerian itu. Program Kembara Sains Borneo telah diwujudkan untuk memastikan kawasan luar bandar khususnya di kawasan perkampungan seperti di Sabah tidak ketinggalan dalam subjek sains.

Oleh itu katanya, akses internet luar bandar diperkasakan seperti di Parlimen Pensiangan apabila menerima projek jendela terbesar. Kerajaan telah meluluskan sebanyak 55 menara telekomunikasi dibina di kawasan itu.

Katanya, program berkembara berkenaan akan diteruskan pada bulan September ke kawasan Kimanis, Kalabakan kemudian Pensiangan.

— Yap Siong Han

Exit mobile version