Site icon Sabah Baru News

Pusat Kegiatan Kebajikan Masyarakat Bingkor diyakini berupaya menyebar luas perkhidmatan kepada golongan sasar

KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik menyambut baik usaha Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor kerana telah mewujudkan Pusat Kegiatan Kebajikan Masyarakat Bingkor, dalam usaha melebarkan lagi perkhidmatan kepada golongan sasar.

Jelasnya, dengan adanya pusat itu di Bingkor, beliau yakin ia secara tidak langsung dapat menyebar luas fungsi persatuan kepada masyarakat seterusnya memberi manfaat kepada golongan sasar yang memerlukan.


Beliau percaya, pusat itu nanti pastinya menjadi satu strategi turun padang bagi mendekati rakyat sekaligus memberi impak kepada masyarakat yang memerlukan.


“Sekalung penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Sabah Credit Corporation, CEO George Tulas kerana telah memberikan kelulusan peruntukan untuk membina bangunan ini.

RASMIKAN: Robert bersama tetamu kehormat memotong riben sebagai gimik perasmian Pusat Kegiatan Kebajikan Masyarakat Bingkor.


“Sesungguhnya komitmen semua pihak yang terlibat dalam menginspirasikan tempat ini serta semua pihak dalam menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh persatuan ini adalah amat dihargai.

“Kepelbagaian program serta usaha berterusan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Kegiatan Masyarakat Bingkor adalah platform yang tepat dalam memperkenalkan serta menyebar luaskan perkhidmatan kebajikan yang disediakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.


“Dengan mengoptimumkan sumber sedia ada serta menyahut saranan perbelanjaan berhemah oleh kerajaan, usaha-usaha membantu rakyat dapatlah dijalankan secara usaha sama di antara agensi kerajaan dan komuniti selaras dengan konsep ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama’, ” katanya.

Dalam pada itu, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata, pendekatan ‘Cari dan Bantu’ dilihat berkesan dalam memudahkan cara penyampaian perkhidmatan Jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk mengesan rakyat yang memerlukan bantuan agensi berkenaan.


“Sebagai contoh golongan sasar yang memerlukan bantuan dapat segera dikenal pasti dan diberi bantuan sewajarnya bergantung kepada keperluan setiap kes.


“Keberkesanan pendekatan ‘Cari dan Bantu’ ini bukan sahaja dapat membantu mereka memerlukan bantuan JKM malah membantu dari segi mengenal pasti golongan sasar yang terlepas pandang oleh lain-lain agensi kerajaan.

“Hal ini memerlukan kerjasama bersama ahli komuniti dan bukan peranan Jabatan semata-mata. Penyampaian maklumat dan perkhidmatan secara efisien dan berfokus perlu dilaksanakan secara berterusan selaras dengan perubahan is semasa dan masyarakat sekeliling.


“Saya menyeru supaya gandingan kerjasama antara jabatan, pemimpin masyarakat, sukarelawan serta komuniti digembleng bersama agar golongan terpinggir dan berisiko dapat dibantu daripada terus ketinggalan dalam arus perdana pembangunan.


“Saya lihat persatuan dan tempat ini dapat menyemarakkan lagi Perkhidmatan Khidmat Masyarakat melalui aktiviti kerja komuniti dan kesukarelawan.


“Selain daripada ahli persatuan ini, komuniti setempat juga seperti pertubuhan belia sekitar turut sama digalakkan untuk terlibat dalam menjayakan aktiviti berkonsepkan kemasyarakatan.


“Kolaborasi sebegini amat wajar diteruskan bukan sahaja dapat menyumbang faedah nyata kepada masyarakat dan persekitaran, malah dapat memberi impak positif terhadap individu yang terlibat, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version