Site icon Sabah Baru News

Eratkan hubungan silaturahim dan perpaduan – Hajiji

Hajiji bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Jahid Jahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya menyempurnakan Karnival Sukan 'Lions Tuaran Merdeka Run & Cycling 2023' di sini, hari ini.

TUARAN: Rakyat Sabah berbilang kaum diajak untuk terus mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta perpaduan yang sedia terjalin.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, dalam kemeriahan menyambut Hari Kemerdekaan, perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat pelbagai suku kaum serta kepercayaan agama perlu terus ditingkatkan.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan Sabah terus mengecapi kemajuan dan Pembangunan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Rakyat perlu menghargai kemerdekaan yang dikecapi oleh negara dan negeri Sabah. Sebab itu pada tahun ini selain menyambut Hari Kebangsaan, kita juga akan menyambut Hari Sabah yang menandakan hari kemerdekaan negeri ini daripada penjajahan British yang akan disambut buat julung kalinya pada 31 Ogos ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sukan ‘Lions Tuaran Merdeka Run & Cycling 2023’ di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan hadiah kepada pemenang acara larian sempena Karnival Sukan “Lions Tuaran Merdeka Run & Cycling 2023” di Padang Pekan Tuaran, Tuaran pada Sabtu.

Hajiji berkata, semangat bersatu padu, setia kawan dan hormat menghormati mampu mewujudkan suasana harmoni, sejahtera serta bersatu padu.

Beliau berharap melalui karnival sukan yang dianjurkan oleh Lions Club Tuaran bukan sahaja memupuk budaya sukan, malah menyemarakkan semangat patriotik dan kemerdekaan dikalangan rakyat.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Jahid Jahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya dan Presiden Lions Club Tuaran Kapitan Frankie Goh.

TAMAT

Exit mobile version