Site icon Sabah Baru News

Fakta sejarah Sabah wajar dimasukkan dalam mata pelajaran Sejarah – Yong

SAPP adalah parti pertama yang mencadangkan Hari Sabah dijadikan sambutan rasmi di Sabah. Pada tahun ini Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berjaya merealisasikan perkara itu.

KOTA KINABALU: Mantan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee mengulangi gesaan bahawa terdapat keperluan untuk memasukkan fakta-fakta sejarah mengenai Sabah sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia ke dalam mata pelajaran sekolah.

Beliau yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, perkara itu penting kerana negeri Sabah akhirnya mengiktiraf, seterusnya meraikan Hari Sabah pada tahun ini yang diadakan pada 31 Ogos 2023.

“Untuk SAPP, kami berterima kasih kerana selepas memperjuangkan Hari Sabah selama 10 tahun, akhirnya ia menjadi kenyataan.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan ramai dalam kalangan rakyat Sabah sendiri tidak sedar bahawa Hari Sabah adalah untuk memperingati tarikh 31 Ogos 1963, bahawa Sabah menjadi sebuah negara berkerajaan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Allan yang mengatakan Hari Sabah bukan untuk memperingati kemerdekaan Sabah, sebaliknya ‘kerajaan sendiri’ pada ketika itu mempunyai kebenarannya.

Yong berkata, pada ketika itu tiada ‘intrumen’ daripada kerajaan British untuk mengisytiharkan kemerdekaan sepenuhnya kepada Sabah sebagai sebuah republik.

“Sabah ketika itu diberi kuasa sepenuhnya untuk mentadbir selama dua minggu sehinggalah pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963,” katanya. 

Beliau juga menjelaskan, dalam tempoh dua minggu itu adalah waktu diperlukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari fakta seterusnya disahkan oleh Setiausaha Agung PBB bahawa rakyat Borneo Utara iaitu Sabah serta Sarawak pada ketika itu mahu membentuk Persekutuan Malaysia.

“Saya berharap dengan sambutan Hari Sabah tahun ini, kita mampu menghargai dan memahami sejarah negeri ini dengan lebih mendalam,” katanya.

Yong yang juga ADUN Dilantik berkata, sudah tiba masanya maklumat seumpamanya wajar dimasukkan ke dalam mata pelajaran sejarah di semua sekolah dalam negara ini.

SAPP adalah parti pertama yang mencadangkan Hari Sabah dijadikan sambutan rasmi di Sabah. Pada tahun ini Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berjaya merealisasikan perkara itu.

–Yap Siong Han

Exit mobile version