Site icon Sabah Baru News

Gagasan Rakyat tekad majukan Gum-Gum

MESYUARAT: Juslie bersama barisan Ahli Jawatanakuasa Gagasan Rakyat dalam mesyuarat berkenaan.

SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Gum-Gum menggunakan pendekatan ‘Gum-Gum Era Baharu’ dalam usaha memajukan kawasan berkenaan yang meliputi pelbagai aspek pembangunan dan infrastruktur.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Gum-Gum, Datuk Juslie Haji Ajirol berkata, kawasan Gum-Gum berpotensi untuk dibangunkan serta boleh menyumbang pertumbuhan ekonomi di daerah ini.

Katanya, Gum-Gum yang terletak dalam Parlimen Libaran mempunyai kawasan sangat luas, termasuklah perkampungan nelayan yang berpotensi dimajukan bagi sektor perikanan.

“Kita akan mengambil pendekatan yang lebih efisen supaya pembangunan kawasan ini bertambah baik seiring dengan keadaan semasa.

“Justeru, saya tidak mahu lagi masyarakat hanya mengenal kawasan Gum-Gum sebagai Jalan Labuk sahaja kerana potensinya sangat besar sekiranya diterokai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Cawangan Berkelompok Gagasan Rakyat Gum-Gum di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, penduduk asal di kawasan berkenaan juga akan kembali ke Gum-Gum, sekiranya pembangunannya seimbang dan standing dengan kawasan lain.

Juslie berkata, sekiranya pendekatan Gum-Gum Era Baharu dapat dilaksanakan, sudah pasti kawasan berkenaan akan bertambah maju dan banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

Dalam pada itu, Juslie menyatakan penerimaan masyarakat Gum-Gum terhadap Gagasan Rakyat semakin bertambah baik.

“Setakat ini, keahlian Gagasan Rakyat Gum-Gum sudah melebihi 3,000 orang dan mempunyai sebanyak 76 cawangan,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version