Site icon Sabah Baru News

Kerajaan komited tingkatkan aspek kebajikan ESSCOM

SIDANG MEDIA: Saifuddin ketika sidang media pada majlis perasmian dan penyerahan Kuarters Kediaman ESSCOM.

LAHAD DATU: Kerajaan komited meningkatkan aspek kebajikan pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang berkhidmat di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu bagi mewujudkan iklim kerja yang lebih kondusif terhadap semua pegawai dan anggota yang ditugaskan di ESSCOM.

Katanya, aspek kebajikan seperti memberikan penempatan kepada petugas dapat mendorong mereka supaya memberikan sepenuh komitmen terhadap tugas.

“Dengan ini, petugas ESSCOM boleh melaksanakan tugas dengan tenang tanpa perlu memikirkan masalah penempatan.

“Kerajaan sangat peka dan prihatin tentang aspek kebajikan mereka dan satu daripada aspek kebajikan adalah tempat tinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kuarters Kediaman ESSCOM di Taman Palm Garden, di sini hari ini.

Terdahulu, pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi meningkatkan infrastruktur dan fasiliti terutama kuarters petugas ESSCOM.

Menurutnya, dengan peruntukan berkenaan, sebanyak 60 unit rumah dapat disediakan dan ini merupakan satu kelegaan dimana sebelum ini petugas ESSCOM terpaksa menyewa tempat tinggal.

“Penempatan yang disediakan ini juga lebih selesa dan keutamaan akan diberikan kepada anggota yang berkeluarga,” katanya.

Saifuddin berkata, usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada kejayaan ESSCOM bagi mengekang elemen jenayah terutamanya di Kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE)

“Pihak ESSCOM telah berjaya menyekat kejadian penculikan untuk wang tebusan beberapa tahun kebelakang ini dan menumpaskan sel-sel pengganas.

“ESSCOM juga berjaya membanteras penyeludupan serta mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PTI) di negeri ini,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version