Site icon Sabah Baru News

Ribuan rai Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah

Juhar, Hajiji dan tetamu kehormat lain memberi penghormatan kepada Jalur Gemilang yang dibawa sempena acara sambutan itu.

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengetuai ribuan rakyat di negeri ini menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah di Dataran Bandaraya di sini hari ini.

Orang ramai mula memenuhi kawasan sekitar Dataran Bandaraya seawal jam 6.30 pagi untuk melihat perarakan perbarisan dari pelbagai kontinjen sempena dengan sambutan itu di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens.

Acara dimulakan selepas ketibaan Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni di pentas utama sambil disambut oleh Hajiji dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Juhar membuat pemeriksaan pasukan 113 pengawal kehormat dari Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Sandakan yang diketuai oleh Mejar Mohd Adam Embi.

Sebanyak 114 kontinjen yang mewakili pasukan keselamatan, badan beruniform, kementerian, sekolah, Institut Pengajian Tinggi (IPT), persatuan kebudayaan etnik, badan bukan kerajaan (NGO), dan sektor swasta menyertai pertandingan perarakan itu.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya; Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya; Setiausaha Kerajaan neegri Datuk Seri Panglima Safar Untong, serta barisan menteri Kabinet.

TAMAT

Exit mobile version