Site icon Sabah Baru News

Bergaduh di KSAB, polis trafik cuba pertahan diri

TANGKAP layar daripada video tular di TikTok menunjukkan keadaan dipercayai di lokasi kejadian. 

Iskandar Puteri: Anggota polis trafik yang didakwa bergaduh dan kemudian dikatakan memukul pemandu treler dalam kejadian di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, dipercayai hanya mahu mempertahankan diri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, anggota polis trafik itu sudah tampil membuat laporan polis selepas insiden berkenaan.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika anggota polis trafik sedang menjalankan tugas pemantauan lalu lintas di KSAB sebelum mendapati treler dipandu seorang lelaki berada di lorong kanan yang sepatutnya dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.

“Pemandu treler itu enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan dilakukan, malah dia juga mengeluarkan kata-kata kesat, lalu bertindak membuka pintu dan terus menumbuk muka anggota trafik sebanyak dua kali sebelum menendang motosikalnya.

“Berlaku sedikit pergelutan antara mereka dan anggota trafik berkenaan cuba mempertahankan dirinya daripada pemandu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, Rahmat berkata, pada jam 10.20 pagi semalam, pihaknya mendapati terdapat satu video berdurasi 50 saat dimuat naik seorang pengguna Tik Tok di aplikasi itu memaparkan seorang pemandu treler yang mendakwa dipukul seorang anggota polis trafik.

Katanya, susulan penularan video itu, pihaknya membuat semakan dan mendapati anggota polis trafik berkenaan ada membuat laporan polis, sebelum pihaknya bertindak menahan pemandu treler terbabit.

“Satu kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan pemandu treler berkenaan sudah ditahan, manakala kita akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya pada hari ini,” katanya.

hmetro

Exit mobile version