Site icon Sabah Baru News

Najib wajar dibebaskan untuk kuatkan gabungan BN-PH – Khairy

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencadangkan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan bagi memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan. – Sinar Harian

SHAH ALAM: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencadangkan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan bagi memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh dibebaskan dari 47 kes yang dihadapinya ini bermakna bekas presiden UMNO itu juga mempunyai harapan cerah untuk dibebaskan dari hukuman penjara dan kes lain yang dihadapi.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang bebaskan Zahid, bebaskan saja Najib, sekurang-kurangnya dia ada nilai tambah kepada Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH).

“Bandingkan ‘Bossku’ (Najib) dengan Zahid, orang yang akan bagi nilai tambah untuk mengekang ‘gelombang hijau’ adalah Najib. Apa yang Zahid boleh buat? Dia tiada nilai tambah.

“Kalau nak ‘kitchen sink’, kitchen (sink) semua benda dan bebaskan Najib, dia akan bawa lebih nilai kepada anda. Anda sudah kuburkan kebaikan Malaysia, berikan pengampunan,” katanya dalam program podcast Keluar Sekejap (KS) bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.

Sementara itu Shahril Sufian turut bersetuju dengan cadangan berkenaan dan pembebasan itu tidak mustahil dari segi ‘realpolitik’.

“Sudah tentu penyokong Bossku akan kata ‘akhirnya Zahid bebas, tapi bagaimana dengan Bossku?’

“Saya tak rasa soalan itu boleh dikekang lagi. Berapa lama tempoh masa sebelum perkara ini menyebabkan ketegangan dalam UMNO sehingga Zahid sendiri diserang oleh penyokong Bossku,” ujarnya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB. Sinar Harian

AWANI

Exit mobile version