Site icon Sabah Baru News

Rakyat Sabah diminta elak konflik, terus bersatu

Dalam pada itu, Nizam turut mengharapkan, generasi muda pada hari ini perlu mencontohi generasi lalu atau orang tua yang mempunyai semangat patriotik dalam diri mereka.

TAWAU: Semua rakyat Sabah diminta supaya sentiasa bersatu dan mengelak perbalahan konflik bagi mengekalkan nikmat kemerdekaan yang sedang dikecapi di negara ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perbalahan konflik ini dilihat hanya dapat memberikan kesan negatif serta mudarat yang besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

Katanya, semua rakyat boleh berbeza fahaman politik, tetapi bagi mendukung keharmonian dan kemajuan negara, ia memerlukan sikap toleransi dalam diri masing-masing.

“Kita seharusnya memberikan sokongan terhadap segala agenda kerajaan, khususnya dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa konsep madani.

“Konsep ini dilihat memberi ruang kepada semua kaum dan agama untuk bersama-sama maju bergerak ke hadapan,” katanya.

Selain itu, katanya, Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dibawa oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor juga perlu disokong oleh semua rakyat di negeri ini.

“Konsep ini adalah usaha kerajaan negeri yang mahu menjadikan Sabah terus maju dan berjaya supaya semua rakyat boleh mendapat manfaatnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata demikian ketika merasmikan Temasya Sukaneka Merdeka 2023, Taman Apas Permai, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nizam turut mengharapkan, generasi muda pada hari ini perlu mencontohi generasi lalu atau orang tua yang mempunyai semangat patriotik dalam diri mereka.

Menurutnya, generasi lalu sentiasa menghidupkan suasana perpaduan serta keharmonian dalam komuniti mereka walaupun berbeza kaum dan agama.

“Justeru, generasi muda perlu selalu diberikan peringatan bahawa perpaduan adalah elemen penting dalam mengekalkan keamanan di negara ini,” katanya.

Beliau menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrtasi Nasional Negeri Sabah kerana kerap menjalankan program yang dapat menyatupadukan masyarakat di negeri ini.

“Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada penduduk di taman ini kerana berjaya menganjurkan temasya sukaneka bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini,” katanya.

Hamzah Sanudin

Exit mobile version