Pemuda PAS yang mempelopori sistem pendidikan Islam untuk anak-anak berbilang kaum dan agama di negeri Sabah tidak pernah menolak sebarang permohonan belajar daripada mana-mana pihak dengan alasan dangkal ibu bapa mereka berlainan ideologi politik termasuk daripada Parti Warisan.
Umum mengetahui institusi pendidikan Pemuda PAS seperti PASTI, SRITI dan SMITI bertindak profesional mendidik setiap anak bangsa walaupun ibu bapa mereka berlainan ideologi politik daripada PAS.
Pemuda PAS tidak pernah sekali-kali bersifat diskriminasi terhadap mereka kerana fokus utama institusi pendidikan PAS adalah menyebarkan ilmu asas untuk murid-murid bukannya dakyah politik.
Situasi ini amat berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Parti Warisan yang ditunjukkan oleh Presidennya dalam satu kenyataan memperlekeh peranan serta sumbangan kepada rakyat dibuat oleh ADUN tunggal PAS Sabah, YB Dr Aliakbar Gulasan.
Pemuda PAS Sabah menyelar serta mengkritik sekeras-kerasnya tohmahan yang dibuat oleh Shafie Apdal ini yang jelas menunjukkan ketidakmatangannya dan kedangkalannya dalam berpolitik.
Tidak hairanlah negeri Sabah yang ditadbir kerajaan Parti Warisan pimpinan Shafie Apdal selama 33 bulan tempoh hari tidak berdaya saing kerana memiliki Ketua Menteri ketika itu yang rasis, tidak memiliki visi jauh dan berfikiran dangkal sehingga rakyat Sabah sendiri menghukum mereka dalam Pilihan Raya Negeri ke 16 pada tahun 2020.
Pemuda PAS Sabah juga menasihatkan Shafie Apdal dan semua parti politik agar bersifat matang dalam berpolitik selain mengamalkan politik beradab bukannya politik dendam membabi buta.
Sekiranya Shafie Apdal atau mana-mana parti politik mempunyai agenda memajukan rakyat yang baik maka tonjolkan ia kepada rakyat. Tunjukkan apa kelebihan parti kalian berbanding parti lain. Bentangkan kerjabuat yang telah dijayakan oleh parti kalian yang memberi manfaat kepada rakyat.
Tindakan mempromosikan politik adu domba dan menyerang karekter pimpinan politik lain jelas menunjukkan kelemahan idelogi politik yang didukung oleh satu-satu pimpinan politik itu sehingga memungkinkan kemajuan sukar dicapai dengan adanya pemimpin politik seumpama ini di negeri Sabah tercinta.
“PEMUDA GENERASI SEJAHTERA MALAYSIA SEJAHTERA”
HENDRI HAMSAH
*Hendri Hamsah merupakan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah. Kenyataan ini tidak semestinya mencerminkan pandangan Sabah Baru News