KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak akan dibubarkan, kata Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan.
“Perkara ini mudah saja apabila sudah dimaklumkan oleh keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu dan telah dinafikan oleh mereka maka dengan jelas tidak ada pun sedikit terlintas di mana-mana fikiran masyarakat yang waras perlu ada pembubaran,” kata Khairul Firdaus kepada pemberita selepas majlis memeterai Memorandum Persefahaman antara Sabah FC dan konsortium agensi pelancongan di Sabah di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial empat ADUN GRS didakwa keluar parti dan menyokong parti Warisan namun sebaliknya empat ADUN tersebut telah menafikannya seterusnya menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan GRS masih kukuh.
Dalam pada itu, Khairul Firdaus turut mengulas mengenai tindakan ADUN Bandau Wetrom Bahanda lompat parti.
“Mengenai tindakan Wetrom, mungkin ada kebenarannya kalau ada Rang Undang Undang Anti Lompat Parti, saudara Datuk Wetrom tidak boleh keluar daripada parti tapi hari ini Yang Amat Berhormat Ketua Menteri sudah jelaskan pada penghujung bulan November ini kita akan bentangkan di Dewan Undangan Negeri Sabah berkenaan dengan RUU Anti Lompat Parti.
“Apabila RUU Anti Lompat Parti ini telah diluluskan di Dewan Negeri mungkin permainan politik akan berubah dan kita berdoa supaya lebih sihat supaya setiap perubahan yang dilakukan itu ada kebaikan untuk Negeri Sabah, itu saja matlamatntya,” teagsnya.