Site icon Sabah Baru News

IPDAS disaran teroka inovasi pendidikan tanpa sempadan

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ,Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd. Arif berama graduan di Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-17 di Dewan Tun Sakaran IPDAS di sini hari ini.

KENINGAU: Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menerokai bidang inovasi pendidikan seiring dengan perkembangan pendidikan tanpa sempadan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelbagai inisiatif diusahakan oleh kerajaan negeri termasuk mewujudkan ‘Sabah Creative Economy and Innovation Centre’ (SCENIC).

Katanya, IPDAS berpeluang besar untuk menerokai ilmu pendigitalan yang digabungkan dengan ilmu teras dalam melahirkan anak bangsa yang berketrampilan dan memenuhi keperluan hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan anak bangsa dan Inisiatif Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai salah satu Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata, penekanan terhadap pembangunan modal insan dititikberatkan ke arah mewujudkan rakyat yang sihat, berjati diri, berilmu pengetahuan, berinovasi dan berintegriti. 

“Ini juga selaras dengan matlamat Gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, ke arah membentuk sebuah negara yang maju, makmur, bertamadun tinggi, aman dan sentosa,” katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS Kali Ke-17 di Dewan Tun Sakaran IPDAS di sini hari ini.

Hajiji berkata, bagi menyokong institusi Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT), kerajaan negeri turut mengambil inisiatif menyediakan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 untuk mengurangkan bebanan keluarga yang tidak berkemampuan membiayai kos pendidikan. 

Menurutnya, BUDI sebagai satu solusi dalam memastikan tiada diskriminasi bagi mana-mana golongan terhadap akses kepada pendidikan yang berkualiti, khususnya golongan yang kurang berkemampuan. 

Katanya, kerajaan negeri turut melahirkan inisiatif yang tidak hanya memfokuskan pemberian bantuan kewangan, bahkan turut menyediakan pendekatan yang berbeza bertujuan memaksima hasil usaha kerajaan bagi membantu setiap lapisan masyarakat dalam pembangunan pendidikan. 

“Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) menyasarkan kelompok mahasiswa kurang mampu dari golongan e-kasih yang sedang menyambung pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) melalui peruntukan sebanyak RM2 juta bagi sasaran pemberian 1,000 unit komputer riba.

“Selain itu, kerajaan negeri melalui kerjasama agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) membangunkan Program Felo Belia yang bertujuan pembinaan potensi diri, keintelektualan dan kecekalan belia dan beliawanis Sabah.

“Usaha ini dilaksanakan dengan menempatkan mereka di GLC yang terpilih untuk diberi pendedahan mengenai alam kerjaya dan cabaran sebenar dalam realiti pekerjaan,” jelasnya. 

Sehubungan itu Hajiji berharap, para graduan dan ibu bapa mengambil peluang terhadap dasar-dasar dan perancangan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri agar ia menjadi nadi penggerak mentransformasikan rakyat dari seluruh pelosok Sabah menjadi sebuah masyarakat yang progresif, maju dan sejahtera.

Beliau turut menghargai komitmen kerajaan Persekutuan yang sentiasa berusaha membantu rakyat Sabah melalui pelbagai peruntukan pembangunan yang berterusan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk meluluskan projek pembangunan IPDAS Keningau Fasa Dua dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.

“Saya juga berharap agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembangunan IPDAS Kampus Kudat Fasa Dua melalui peruntukan RMK13 supaya ia turut memanfaatkan masyarakat sekitar seterusnya memenuhi agenda pendidikan dan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui IPDAS dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, swasta serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa berganding bahu dalam memperkasakan perkembangan syiar Islam di bumi Sabah.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd. Arif. 

— TAMAT

Exit mobile version