KUANTAN, – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dakwaan ada ejen perisikan dari Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan pihak berkuasa Malaysia sentiasa meneliti dan memantau dokumen kemasukan setiap rakyat asing ke negara ini.
“Perkara (dakwaan) seperti ini harus kita teliti, kemudian barulah kita umumkan (tindakan lanjut),” katanya merujuk laporan akhbar New Straits Times (NST) mengenai kes terbabit yang turut dimuat naik dalam NST Online, hari ini.
Beliau ditemui media selepas Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022, di sini hari ini.
Dalam laporannya, NST mendakwa ejen Mossad telah memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.
“Sekiranya ada rakyat asing yang memasuki Malaysia tanpa dokumen sah, tindakan akan diambil. Sesiapa sahaja yang masuk dalam negara kita, perlu ada dokumen sah.
“Bila kita ada maklumat mengatakan ada orang masuk guna dokumen tidak sah, kita akan pantau. Kalau kita rasa sudah sampai masa kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.
Memetik laporan NST, Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, akhbar itu mendakwa, pasukan perisik memintas dua warga Palestin sejurus selepas jam 10 malam pada 28 September, apabila kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di sini.
Sebelum ini, pada 17 Mei 2021, Hamzah dalam satu kenyataan, memaklumkan KDN memandang serius ancaman keselamatan dikeluarkan Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Katanya lagi, Malaysia mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin dan akan terus memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di negara ini.
Beliau juga memberi jaminan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi keselamatan lain sudah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek susulan ancaman Israel terhadap pemimpin pejuang Palestin di seluruh dunia, termasuk Malaysia.