TIDAK selamanya, pemimpin yang mengejar kepentingan peribadi akan terus disokong pengundi yang memberinya kedudukan atau status dalam arena politik.
Tidak selamanya yang dikejar menambah yang digendong, kerana yang kerap berlaku sebaliknya, yang digendong berciciran yang dikejar tak dapat.
Menjelang PRU-15, kerana isu calon, ada pemimpin yang mengorbankan perjuangan yang dibina, kerana termakan harapan baharu, sehinggakan terlupa, hakikat, tiada jalan singkat mendapat kejayaan, manakala jika memilih sebaliknya, maka jalan singkat sebaik-baik pilihan.
Kadangkala pemimpin politik terlupa, bahawa dalam politik itu, mesti sanggup menerima, keinginan tidak akan dapat semua, akan tetapi tidak akan hilang semua, apabila berkaitan kerjasama antara blok parti politik, kerana menerusi kerjasama, akan terwujud situasi menang-menang, kerana kesanggupan berkorban pada masing-masing pihak.
Dalam pilihan raya, apabila antara blok parti politik kekuatan seimbang, maka cara untuk menang, adalah menerusi kerjasama parti-parti. Jika misi seperti ini pun ditolak, lalu bertindak menyeberang, kerana dijanjikan harapan yang tidak semestinya menjadi harapan, maka, rakyat kemungkinan menghukum.
Demikian juga situasinya, dalam sebuah kerjasama, jika yang bekerjasama itu, gagal memberi penilaian atau gagal membaca fakta sebenar, termasuk fakta lapangan, boleh menjadikan kerjasama itu sia-sia, kerana tidak dapat merealisasikan harapan pada kerjasama tersebut, melainkan bertukar senjata makan tuan.
Contoh mudah, dalam agihan kerusi antara BN dan GRS yang membabitkan Parlimen Beaufort dan Pensiangan, kawasan parlimen-parlimen tersebut walaupun merupakan kawasan tradisi BN akan tetapi berasaskan senario politik semasa, kawasan tersebut lebih berpihak pada GRS, seperti mana dibuktikan pada PRN-16 Sabah, September 2020, maknanya, dalam kerjasama yang bertujuan untuk menang, maka parti yang boleh menang diberi peluang, bukan sebaliknya, akan tetapi jika berkaitan Parlimen Kota Marudu, Parti PBS lah yang patut diberi peluang, kerana lebih kuat berbanding parti-parti lain.
Dalam kerjasama parti politik, patut bersandar, tidak semua diinginkan/diminta dapat dipenuhi, sebaliknya perlu ada tolak ansur, bertujuan agar masing-masing merasakan kemenangan.
Jangan sesekali berkiblat pada keterojaan menjadi calon, kerana kerap kali ianya berakhir menang menjadi calon, akan tetapi gagal menterjemahkan kepada kerusi.
Penulis sedar, perkataan kerap kali keluar daripada mulut pemimpin yang berusia “nothing to lose” apa yang terjadi terjadi lah, kerana memangpun hakikatnya, peluang dan masa tidak menyebelahi mereka, akan tetapi tindakan tersebut berkesudahan menang sorak tetapi kampung tergadai.