Site icon Sabah Baru News

Malaysia perlu kekal harmoni: Ewon

Ewon berkata, selama 60 tahun ini, Malaysia sememangnya telah mengecapi pelbagai pencapaian dan kemajuan dalam banyak sektor, tetapi masih berhadapan pelbagai isu dan cabaran.

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mahu melihat Malaysia terus menjadi sebuah negara yang harmoni.

Katanya, beliau mahu persekutuan yang berasaskan kepada demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, yang menerima Islam sebagai agama rasmi tetapi agama lain boleh dianuti dengan harmoni, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa ibunda terus diamalkan, hak Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak dihormati tetapi kaum lain juga mempunyai hak dibawah perlembagaan.

“Parti UPKO juga akan memainkan peranan berkesan dalam memastikan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dilaksanakan. 

“Ini termasuk peranan saya dalam Jemaah Menteri Persekutuan, Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jawatankuasa Teknikal MKTP MA63,” katanya dalam ucapan Perutusan Hari Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, selama 60 tahun ini, Malaysia sememangnya telah mengecapi pelbagai pencapaian dan kemajuan dalam banyak sektor, tetapi masih berhadapan pelbagai isu dan cabaran. 

“Keupayaan kita saling hormat-menghormati, bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain dalam keluarga besar Malaysia akan menentukan kejayaan serta masa depan negara kita.

“Sebagai Anak Malaysia, saya ingin melihat lebih banyak ‘momen’ terbaik dapat dicetuskan agar generasi akan datang boleh berbangga dengan kita semua. Mari terus saling memotivasi dan memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya, pada 1992, beliau menyaksikan siaran secara langsung di televisyen pertandingan akhir Piala Thomas. Dalam liputan siaran, sememangnya terserlah semangat rakyat Malaysia berbilang kaum menyokong pasukan badminton negara dan berbangga dengan kejayaan memenangi pertandingan itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, momen itulah antara yang terbaik dalam ingatan beliau sebagai seorang Anak Malaysia.

“Tahun ini kita meraikan ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke-60. Negara ini terbina susulan satu perjanjian antarabangsa yang dikenali sebagai MA63 melibatkan wilayah-wilayah yang masih kekal hari ini iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Perjanjian Malaysia itu sepatutnya menjadi panduan kepada tadbir urus negara kita, termasuk Perlembagaan Persekutuan. Setiap wilayah dan setiap kaum mempunyai hak serta peranan. 

“Semangat penubuhan negara ini mesti sentiasa dihormati, dipelihara, dijunjung dan dijayakan,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version