Site icon Sabah Baru News

MOTAC  dan  Perbadanan Labuan  bekerjasama rancakkan industri pelancongan Labuan

KHAIRUL (tiga dari kiri) bersama Fadzilah ((dua dari kiri) dan Rosli (kiri sekali) ketika merasmikan Strongestman dan Ninja Warrior 2023 di Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan.

LABUAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus berkerjasama dengan Perbadanan Labuan bagi   merancakkan lagi  industri pelancongan di pulau ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, Perbadanan Labuan sebagai agensi yang diberi tanggungjawab dalam mentadbir dan membangunkan Labuan daripada pelbagai aspek termasuk dalam konteks pelancongan, pastinya MOTAC  perlukan sokongan daripada Perbadanan Labuan untuk menghasilkan pelbagai  produk pelancongan sekaligus dapat menarik lebih ramai pelancong  melihat dan merasai sendiri keunikan yang terdapat di pulau ini.

Beliau berkata, MOTAC  telah melihat bahawa Labuan mempunyai keunikan  4S iaitu Sun, Sea, Seafood dan Syok  dan semua elemen elemen ini menjadi tarikan pelancong.

PESERTA wanita dari Labuan, Flavia Mannie Luntak ketika menyertai salah satu disiplin  Pencarian Orang Kuat Labuan 2023.

 “Apabila kita dapat memperkasakan lagi 4S ini pastinya  Labuan akan dilihat sebagai destinasi pelancongan yang menarik…kalau bukan yang paling utama pun tetapi sentiasa ada dalam menu  mereka (pelancong) untuk dikunjungi”

“Justeru  MOTAC dan Perbadanan Labuan akan  merancang satu kerangka secara menyeluruh agar 4S ini dapat  dirasakan oleh setiap pelancong   betapa indahnya Labuan di hati dan mata mereka” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Labuan Strongestman and Ninja Warrior 2023 yang diadakan di Komplek Sukan Air Antarabangsa Labuan, pada Sabtu.

Sementara itu,  Labuan Strongesman dan Ninja Warrior 2023 anjuran MOTAC dengan kerjasama Perbadanan Labuan telah disertai 100 peserta  lelaki dan wanita melibatkan penyertaan daripada luar negara antaranya, Hongkong, Brunei, Bangladesh, Singapura dan Indonesia disamping peserta dalam negara termasuk Sabah, Sarawak dan  Labuan.

Pencarian Orang Kuat Labuan   2023  melibatkan enam disiplin iaitu Vehicle Deadlift,  Famer’s Walk, Yolk Walk, Tyre Flip, Hercules Hold dan Atlas Stone.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadzilah Mahmud dan Pemangku Pengarah Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Labuan, Rosli Mat Jinun.

JAINUDIN DJIMIN

Exit mobile version