Site icon Sabah Baru News

Keharmonian dalam kalangan kaum perlu dikekalkan demi keamanan

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew

KOTA KINABALU: Usaha Kerajaan Perpaduan hari ini dalam memupuk keharmonian dalam kalangan pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya, bangsa dan taraf sosioekonomi adalah merupakan agenda besar serta penting.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, ia penting demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

“Tarikh keramat 16 September 1963 adalah bukti penyatuan niat dan tekad kesungguhan pejuang-pejuang bangsa terdahulu. 

“Perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan wilayah inilah yang menjadi tunjang kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

“Oleh itu, perkukuhkanlah perpaduan, pupuk kerjasama yang lebih erat dan tingkatkan integrasi. 

“Saya yakin, dengan semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional yang jitu, Malaysia akan terus berada di landasan yang kukuh untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Hari Malaysia 2023 di Padang Merdeka di sini, pada malam Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu juga berkata, sepertimana yang termaktub di dalam tema tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, jelaslah bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia fokus dalam memastikan nilai perpaduan terus diperkasakan bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi juga antara pemimpin dan rakyat.

Menurutnya, kerjasama yang erat inilah yang menjadi kunci utama untuk memenuhi harapan agar Malaysia menjadi sebuah negara maju serta moden setanding dengan negara maju yang lain di arena antarabangsa.

“Nilai-nilai Malaysia Madani yang berpaksikan kepada enam teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan adalah penting dalam usaha membina kekuatan agar terus teguh bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi.

“Saya percaya bahawa hanya rasa cinta terhadap negara membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan untuk membangun serta menjaga kedaulatan negara kita.

“Justeru itu, saya menyeru agar kita semua dapat menghayati konsep perpaduan dan jati diri bangsa Malaysia,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version