Site icon Sabah Baru News

PM minta Abang Jo beri taklimat kepada MB, KM berhubung ekonomi baharu Sarawak

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengiktiraf kemajuan ekonomi dan perkembangan negeri itu sejak akhir-akhir ini. Foto:TVS

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Premier Sarawak Abang Johari Openg memberi taklimat kepada para ketua menteri dan menteri besar negeri lain, termasuk Ahli Parlimen berhubung ekonomi baharu Sarawak.

Abang Johari berkata beliau sebelum ini diminta memberi taklimat kepada Jemaah Menteri tentang pembangunan ekonomi Sarawak kebelakangan ini, menurut The Borneo Post.

Katanya, perdana menteri mengiktiraf kemajuan ekonomi dan perkembangan Sarawak, sejak akhir-akhir ini.

“Ekonomi hidrogen dan ekonomi hijau benda baharu kepada mereka. Jadi, (pada Sabtu), saya jadi ‘cikgu’ kepada Jemaah Menteri,” katanya, merujuk kepada taklimat kepada Jemaah Menteri baru-baru ini.

“Sekarang, (Anwar) mahu saya bercakap sekali lagi kepada semua Ahli Parlimen dan ketua menteri (dan menteri besar) berhubung ekonomi baharu yang diterima pakai Sarawak.

“Kini, mereka mengikut kita, (bukan lagi Sarawak jadi pengikut). Kita sangat terharu.”

Abang Johari berkata beliau beritahu perdana menteri bahawa semua orang bekerjasama di Sarawak, sambil menambah kemakmuran negeri bermakna Malaysia secara keseluruhannya bertambah makmur.

Pada Sabtu, Anwar memuji Sarawak berkaitan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dengan menyatakan negeri lain patut mencontohi inisiatif berkenaan.

Perdana menteri menambah Putrajaya akan bekerjasama erat dengan Sarawak untuk mencapai sasaran PCDS 2030.

Kerajaan Sarawak diterajui Abang Johari mengumumkan PCDS 2030 pada Julai 2021, antara lain menyasarkan pelan jangkan panjang negeri mengubah struktur ekonominya selepas kesan pandemik Covid-19.

PCDS 2030 menyasarkan pertumbuhan ekonomi dalam enam sektor utama, iaitu pelancongan, pertanian komersial, pembuatan, perhutanan, perlombongan, dan perkhidmatan sosial.

–TAMAT

Exit mobile version